Wanita bekerjaya perlu berhati-hati, elak jadi mangsa ‘scammer’ perkahwinan

Wanita bekerjaya perlu berhati-hati, elak jadi mangsa ‘scammer’ perkahwinan

 

Wanita berkerjaya yang masih belum mendirikan rumah tangga perlu berhati-hati dengan menyiasat latar belakang lelaki yang baharu dikenali untuk mengelak terjebak dengan ‘scammer’ perkahwinan.

‘Scammer’ perkahwinan merujuk kepada lelaki yang tidak bekerja, tetapi mencari bakal pasangan yang sudah mempunyai kerjaya stabil hanya untuk menumpang kesenangan dan kemewahan.

Perunding motivasi, Fadzli Aziz, berkata keadaan itu wujud kerana ketika ini ramai lelaki yang dilihat hanya mahu mengambil kesempatan terhadap wanita berkerjaya.

Katanya, ini kerana golongan itu malas, tidak mahu bekerja dan tahu akan ada wanita yang sudi menanggung mereka.

“Oleh itu, wanita sebelum berkahwin, siasat betul-betul latar belakang bakal pasangan sebab saya bimbang sekarang banyak ‘scammer perkahwinan’.

“Sekarang ini banyak lelaki yang malas, tidak bertanggungjawab, tidak mahu berusaha dan bekerja.

“Mereka dikesan mahu berkahwin hanya untuk menumpang kesenangan isteri tidak kira wanita yang bekerja dalam sektor kerajaan atau swasta tetapi memilih wanita yang mempunyai pendapatan,” katanya berkongsi pandangan berkaitan perkara itu di akaun TikTok miliknya.

Beliau yang juga bekas anggota kumpulan nasyid UNIC, berkata lelaki yang bekerja tetapi mempunyai pendapatan rendah berbanding pasangan itu adalah perkara yang berbeza.

Katanya, ini kerana lelaki berkenaan masih berusaha untuk bekerja dan mencari pendapatan.

“Berbeza dengan ‘scammer’ perkahwinan mereka jadikan perkahwinan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan kesenangan.

“Golongan lelaki ini akan mulakan dengan mengurat bakal isteri yang berkerjaya serta mempunyai kewangan yang stabil dan sebagai balasan mereka hanya memberikan kasih sayang,” katanya.

Fadzli berkata, tidak dapat dielakkan mungkin ada wanita yang masih belum nampak sikap lelaki sedemikian dan percaya golongan itu masih mampu berubah selepas berkahwin.

Namun katanya, untuk seseorang itu berubah menjadi rajin bekerja tidak sepatutnya hanya menunggu selepas perkahwinan.

“Hendak berubah tidak semestinya tunggu selepas kahwin, kalau hendak berubah perlu sebelum kahwin lagi.

“Sebab perkahwinan bukan perkara mudah dan sebagai lelaki tanggungjawab menjadi suami dalam keadaan tidak bekerja sudah pasti susah,” katanya.

Justeru katanya, golongan lelaki jika tidak mampu, malas bekerja dan hanya mahu bersenang-lenang, lebih baik elakkan berkahwin daripada merosakkan hidup orang lain.

“Oleh itu, golongan wanita perlu lebih berhati-hati memilih pasangan dan yang penting sebelum berkahwin, siasat betul-betul bakal suami,” katanya.

Ketika ini, ada platform dating apps seperti Tinder, Omi dan Michat umpamanya memang mudah dilayari, namun perlu jangan mudah terpedaya berkenalan tanpa usul periksa.

Ini penting bagi bagi mengelak taktik kotor pemangsa ‘love scam’ yang sentiasa mencari kesempatan menggunakan modus operandi tertentu untuk mengagih cinta palsunya.