Wanita luah bahagia terima layanan baik mentua dari Bangladesh, ‘cair’ suami tak putus asa minta nombor waktu berkenalan

Wanita luah bahagia terima layanan baik mentua dari Bangladesh, ‘cair’ suami tak putus asa minta nombor waktu berkenalan

Satu video yang merakamkan sesi temu bual media Bangladesh bersama seorang wanita asal Malaysia telah tular di media sosial, baru-baru ini.

Menerusi rakaman tersebut, wanita berkenaan meluahkan kebahagiaannya selepas memutuskan untuk mendirikan rumah tangga bersama warga asing dari Bangladesh.

Tidak hanya berjaya mendapatkan lelaki yang baik, wanita tersebut turut menerima layanan sangat istimewa daripada mentua ketika mengunjungi negara berkenaan.

Berjaya menyita perhatian ramai, potongan video berkenaan tular selepas dikongsi menerusi satu hantaran yang dimuat naik oleh pengguna media sosial X ( Twitter).

Wanita berkenaan juga sempat menceritakan semula detik pertemuannya bersama suami di sebuah restoran menerusi rakaman yang berdurasi 2 minit 20 saat itu.

Tidak mengambil masa yang lama untuk melamar, suami wanita berkenaan juga enggan berputus asa untuk cuba mengenalinya ketika pertemuan pertama dahulu.

“Kami berjumpa di sebuah restoran. Selepas itu, dia minta nombor telefon. Mula-mula saya tak bagi. Tetapi lama-lama saya bagi juga kerana dia tak berputus asa.

“Mula daripada detik itu kami mula berhubung. Kami saling bertukar pesanan mesej sebelum dia (suami) akhirnya membuat keputusan untuk melamar saya,” katanya.

Media dari Bangladesh itu turut bertanya perasaannya selepas mendirikan rumah tangga dan penerimaan wanita tersebut terhadap negara kelahiran suaminya.

“Cuaca Malaysia dan Bangladesh sama sahaja. Saya semestinya merasa gembira selepas berkahwin dengan suami. Keluarga baik, sambut kami dengan meriah.

“Saya akan datang lagi (ke Bangladesh). Keluarga masih ada di sini. Selagi ibu dan bapa (mentua) masih ada, kita akan datang.” Jelas wanita terbabit kepada media.

Suami wanita berkenaan yang fasih berbahasa Melayu itu setia duduk di sebelahnya untuk menterjemahkan soalan media yang dikemukakan dalam bahasa Bangladesh.

Berdasarkan ciapan yang ditulis dengan perkataan berbaur sinis, penyebar video mungkin berniat untuk mengundang kecaman dari orang ramai terhadap wanita itu.

Namun tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna media sosial memberikan reaksi positif dan memuji tindakan wanita itu mengahwini suaminya.

“Eloklah kahwin dengan lelaki Bangladesh. Daripada kahwin dengan Melayu, kena bela biawak hidup. Kemudian curang sana sini,” kongsi seorang pengguna.

“Saya rasa orang Bangladesh okay lagi. Mereka rajin bekerja, pandai mencari duit. Lagi baik daripada lelaki lain.” Ujar pengguna lain yang berkongsi pendapat serupa.