Wanita mengandung antara yang ditahan berhubung kes scam pelaburan RM1.2j

Wanita mengandung antara yang ditahan berhubung kes scam pelaburan RM1.2j

Seorang wanita yang sedang sarat mengandung antara dua suspek yang ditahan terlibat kes penipuan pelaburan wang tidak wujud yang dikenali sebagai Savingbywaniey atau Free Cash (FC).

Memetik laporan MalaysiaGazette, kedua-dua wanita berusia 30 tahun itu ditahan pada jam 5.30 petang semalam di sekitar daerah ini selepas pihak polis menerima 33 laporan berhubung penipuan itu membabitkan kerugian berjumlah RM1.2 juta.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Shamsudin Mamat berkata, pihaknya kini sedang memburu seorang lagi suspek dikenali sebagai Norsyazwany A. Rahim, 23, dari Kampung Landak Hilir, Kupang di sini, yang turut terlibat dalam kes sama.

Jelas beliau, kegiatan kesemua suspek ini terbongkar selepas pihak polis menerima 33 laporan daripada penduduk Baling dengan nilai kerugian berjumlah RM1.2 juta dalam tempoh dua bulan.

“Kejadian terbaharu adalah pada Jun lalu apabila seorang pembantu kedai berusia 30 tahun kerugian RM18,000 selepas terpedaya dengan iklan mengenai pelaburan dan simpanan menerusi Facebook pemilik akaun ‘Eypolwaniey’.

“Wanita itu dijanjikan RM12,000 dengan pelaburan RM6,000 sebelum dia menambah jumlah pelaburan dalam beberapa transaksi dengan jumlah keseluruhan RM18,000 namun keuntungan tidak diperoleh sebelum suspek dilaporkan menghilangkan diri.

“Susulan itu, mangsa membuat laporan polis pada 19 Ogos lalu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Mengulas mengenai tangkapan Shamsudin berkata, wanita sarat mengandung itu dibebaskan dengan jaminan polis manakala seorang lagi direman empat hari bermula hari ini.

“Kita kini sedang giat mengesan Norsyazwany dan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai wanita itu diminta salurkan kepada kita atau balai polis berhampiran.

“Orang ramai yang terpedaya dengan penipuan pelaburan ini juga diminta tampil membuat laporan polis bagi membolehkan kita menjalankan siasatan lanjut.

“Selain itu, saya juga ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan pelaburan yang menjanjikan pulang lumayan,” tegas beliau.