Gambar: Natipah AbuDia call Kak Pah merayu dia hendak bertemu dengan Kak Pah. Tapi masa Kak Pah dan masa dia tidak bekerjasama untuk bertemu di sebelah siang.Dia merayu lagi untuk bertemu di sebelah malam. Oleh sebab Kak Pah langsung tidak kenal dia maka Kak Pah putuskan untuk berjumpa di kawasan awam yang terang benderang.
Jujur Kak Pah tak tahu apa hajat dia hendak bertemu Kak Pah. Bila Kak Pah minta diberikan sedikit mukadimah pun dia menolak.
Malam itu di tengah heningnya malam, Kak Pah memandu sendirian ke tempat yang Kak Pah sendiri pilih.
Tiba di kawasan parking hadapan sebuah bank dengan mudahnya Kak Pah dapat mengecam dia bila ternampak seorang anak kecil di dalam kereta dia.
Sebaik turun dari kereta, dia memeluk Kak Pah dan terus menangis. Kaget Kak Pah seketika.
“Allah .. awat ni .. pasai apa? “
Setiap kali memeluk orang yang tak pernah dikenali, hati Kak Pah tidak pernah merasakan mereka itu orang asing bagi Kak Pah.
Nescaya, walaupun Kak Pah tidak mengenal mereka tapi bagi mereka, tentunya Kak Pah sangat dekat di hati. Jika tidak, masakan begitu.
“Saya tak tau macam mana nak cerita. Tapi saya nak jumpa Kak Pah … saya nak kata-kata semangat dari Kak Pah. Saya selalu baca tulisan Kak Pah. Dada saya yang sesak jadi lapang … bila baca tulisan Kak Pah. Tolonglah gosok dada saya ni Kak Pah, saya sebak sangat, saya sesak sangat ni …”
Tangisannya makin meninggi dan pelukannya semakin erat melingkari tubuh Kak Pah.
Mata Kak Pah sempat melirik ke sekeliling kami, rupanya hanya kami berdua di situ.
Kak Pah menarik tubuhnya rapat ke kereta Kak Pah, biar jauh sikit dari si anak. Kak Pah tidak ingin si anak melihat keadaan ibunya yang sedang menangis hiba hampir separuh nyawa itu.
Hati anak kecil itu terlalu naif untuk dilukai walaupun dengan tangisan si ibu kandung. Sungguh Kak Pah tidak sampai hati.
“ Ceritalah pelan-pelan kat Kak Pah. Apa yang telah terjadi …”
Pelukan terlerai dan dalam esak tangis, dia pun mengkisah tentang apa yang telah menimpa dia.
Sudah 2 tahun dia membawa haluan, hidup jauh dari suami bila rumah tangga mereka dilanda badai.
Dia membawa diri dan pulang ke kampung. Memulakan hidup baru bersama ayah dan ibu. Dia memang gigih mencari rezeki demi membesarkan anaknya.
Alhamdulillah, selama hampir dua tahun hidup sendiri . Dia mampu menyara kehidupan walaupun hakikatnya, hidup ini sangat keras.
Sebulan yang lalu, setelah lama berniaga, dia berjaya mengumpul modal dan berpindah ke rumah sewa sendiri tidak jauh dari rumah orang tuanya.
Harapkan panas sampai ke petang, rupanya berarak mendung dan gugurlah hujan di tengahari.
Saat hidup baru terasa hendak menarik nafa lega, sekali lagi badai melanda bila niat baiknya membantu seorang kawan telah mambawa padah kepadanya.
Suatu hari, dia yang sedang berniaga di tepi jalan itu didatangi seorang sahabat yang mana di dalam tangisan mengadu tentang kesempitan yang menimpa beliau.
Dia yang baru berpindah rumah memang tiada lagi wang simpanan untuk dihulur walau sekupang-dua tetapi air mata si sahabat tadi telah menyebabkan dia tetap berusaha untuk membantu.
Dia pernah berhutang dengan Along untuk modal perniagaan. Kerana bayarannya cantik maka sesekali bila kali terputus modal Along dengan mudahnya akan memberi dia pinjam.
Lalu dia mencadangkan sahabatnya tadi meminjam dengan Along yang sama, yang dia kira sudah menjadi kawannya.
Kerana sahabatnya tiada rekod meminjam dengan Along maka Along mencadangkan agar akaun dia digunakan untuk memudahkan urusan. Tambahan pula, jumlah pinjaman hanyalah RM1K.
Bermakna, pinjaman itu dibuat atas namanya. Atas asbab sahabat, dia bersetuju tanpa berfikir panjang agar pinjamannya dapat diproses dengan segera dan wang pinjaman pun dimasukkan ke dalam akuan si sahabat.
Kadar pinjaman Along, pinjam RM1K, bayaran mingguan ialah RM350 sebanyak 8 kali. Jika terlewat, akan dikenakan cas RM100 untuk satu hari.
Begitulah pokok dan bunga asing. Sungguh Kak Pah sendiri tidak begitu faham dengan konsep yang diterangkan dia.
Rupanya, sahabat tersebut telah menambah RM1K lagi pinjaman tambahan dan menjadikan jumlahnya RM2K. Bayaran bunga pun naik berganda.
Dalam masa dua minggu, tanpa dia duga, dia telah dikejar Along tanpa sebarang timbang rasa lagi bila si sahabat telah melanggar syarat perjanjian dan gagal membayar balik pinjaman tersebut.
Untuk menampung bunga hutang si sahabat, dia terpaksa meminjam satu lagi akaun atas namanya sendiri.
Begitulah laksana menggali lubang baru untuk mengambus lubang lama. Bunga pun mencanak naik.
Sahabat yang meminjam pula terus memberikan alasan tiada kemampuan untuk membayar buat masa ini. Meraunglah dia kerana dirinya kini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
Habis wang niaga digunakan untuk membayar hutang Along yang dipinjam oleh sahabatnya.
Kerana malam yang telah larut, Kak Pah minta kami berpisah dulu malam itu.
Esoknya, Kak Pah melawat ke tapak niaganya. Ayam dan sotong gunting. Mencuba jualannya, semua serbuk cili dan perisa adalah hasil buatannya sendiri. Sedap sekali dan Kak Pah membeli untuk disedekahkan.
Pengajaran untuk semua
Janganlah sesekali terlibat dengan Along. Mereka umpama harimau yang sedang memburu mangsa. Jangan sekali-kali percayakan sesiapa pun dalam soal wang.
Sebelum kesiankan orang, kesiankanlah diri sendiri dulu. Jika ada yang hendak meminjam wang dengan kalian, jawab saja.
“ Maaf … aku tidak membina hubungan kita dengan wang !”
Bermakna, seandainya hubungan itu terputus kerana kita tidak meminjamkan dia wang, sungguh dia bukanlah sahabat yang baik untuk kita.
“Saya bukan nak mintak duit Kak Pah. Saya nak mintak Kak Pah doakan perniagaan saya laris. Saya nak selesaikan hutang Along ni segera sebelum jumlah bunga terus naik..”
Semoga Allah permudahkan segala urusanmu hendaknya, dik….
#JomSupport
#AyamGunting
#DpnParking
#MydinTamanBatikSgPetani