Wanita Rusia ceroboh Menara 118 tampil mohon maaf, didakwa bayar RM100 untuk loloskan diri

Wanita Rusia ceroboh Menara 118 tampil mohon maaf, didakwa bayar RM100 untuk loloskan diri

Semalam, seorang wanita warga Rusia dikenali Angela Nikolau melalui Twitternya membuat permohonan maaf atas perbuatannya ‘ceroboh’ Menara Merdeka 118 kepada rakyat Malaysia.

 

Angela berkata, dia tidak mempunyai niat untuk menyinggung mana-mana pihak terhadap perbuatannya memanjat menara berkenaan. Namun, ia dianggap sebagai karya dan seni terhadap dirinya sahaja.

“Saya mohon maaf jika menyinggung perasaan rakyat Malaysia, bukan itu niat saya.
“Saya tidak mengharapkan apa-apa selain karya dan seni. Saya juga tidak berminat dengan sebarang konflik atau kebencian,”ciapnya.

Bayar RM100 untuk lepaskan diri?

Sementara itu, tular ciapan daripada penyampai radio dan pengacara Hani Fadzil mengatakan wanita berkenaan membayar RM100 untuk meloloskan diri.

“Biadap! Tak boleh diterima! Dia bayar RM 100 untuk melarikan diri?!!”ciapnya.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mahu media memberi ruang kepadanya untuk mendapatkan laporan penuh siasatan terhadap pasangan dari Rusia yang dipercayai menceroboh bagi memanjat Menara Merdeka 118, di sini, baru-baru ini.

Saifuddin berkata, insiden berkenaan sudah dimaklumkan kepadanya namun pramatang untuk beliau mengulas selagi belum mendapat laporan penuh pihak berkuasa.

“Adalah pramatang untuk saya beri sebarang jawapan dahulu. Saya diberi maklum proses siasatan sedang dibuat, bagi ruang untuk saya dapat laporan penuh sebelum mengulas,” katanya.

Terdahulu, pada 29 Disember lalu polis menerima satu laporan daripada pihak pengurusan Menara Merdeka 118 untuk tindakan lanjut mengenai kes pencerobohan pasangan dari Rusia yang dipercayai memanjat menara terbabit.

Angela juga berkongsi cerita bagaimana caranya dia boleh terlepas dari sebarang kawalan keselamatan dari menara tersebut.