Wanita sanggup berhenti kerja sebagai pegawai bank demi jadi penjual bakso, kini lebih bahagia

Wanita sanggup berhenti kerja sebagai pegawai bank demi jadi penjual bakso, kini lebih bahagia

 

Setiap daripada kita pastinya mempunyai cita-cita semasa kecil yang sebolehnya mahu kita penuhi apabila sudah besar.

Samalah seperti wanita ini yang mengimpikan untuk menjadi pegawai bank dari zaman kecil lagi.

Menurut portal Wolipop, wanita dari Indonesia berkongsi kisah bagaimana dia sanggup tinggal kerjaya sebagai pegawai bank demi menjadi penjual bakso.

Menerusi hantaran di Instagram, @Margarethacindyana memaklumkan dia sanggup berhenti kerja di sebuah bank walaupun ada ijazah dalam bidang tersebut.

“Dari zaman sekolah lagi saya sudah bercita-cita mahu menjadi pegawai bank dan itu adalah sebelum saya berjaya menjawat jawatan itu.

“Namun, manusia boleh berubah. Saya nekad berhenti kerja untuk memberi fokus kepada perniagaan ini.

Perjalanan masih panjang, masih banyak impian yang belum dicapai,” ujarnya dalam kapsyen di Instagram.

Tambahnya, disebabkan sering mendapat tekanan daripada pihak atasan, maka berkurang rasa kegembiraan untuk terus bekerja di syarikat itu.

“Waktu itu, kekasih saya (kini suami) sukar menjalankan perniagaan itu sendirian. Jadi, saya mahu membantunya menjual bakso,” kata Margaretha.

Lebih menggembirakan restoran yang diusahakan pasangan tersebut semakin menerima sambutan terutama daripada mereka yang sering membuat ulasan makanan.

Disebabkan kedai yang menjadi tumpuan ramai, dia kini mempunyai ramai pekerja dan mampu membeli kereta mewah dan rumah idaman.

Margaretha juga kini mampu bercuti di pelbagai tempat tidak seperti masa dia bekerja di bawah tekanan syarikat.

Kebanyakan netizen memuji tindakan Margaretha yang memilih kebahagiaan berbanding wang.

“Kenapa mahu jadi pegawai kalau boleh jadi bos?” kata seorang netizen.

“Keuntungan sehari kalau pelanggannya ramai boleh kalahkan gaji pegawai bank satu bulan,” kata netizen lain.

Setiap pekerjaan pastinya ada cabaran masing-masing, apa yang penting adalah untuk tidak bekerja di bawah tekanan.