Wanita tak sengaja booking semua hotel di Bali untuk bercuti

Wanita tak sengaja booking semua hotel di Bali untuk bercuti

 

Seorang wanita yang membawa keluarganya ke percutian mewah di Bali secara tidak sengaja telah menempah keseluruhan hotel hanya untuknya sekeluarga, lapor Daily Mail.

Jasmine Gordon, 26, dari Somerset pada awalnya merancang untuk menempah percutian impian untuk keluarganya. Rancangan itu dibuat bagi memenuhi impian datuk dan neneknya yang teringin ke Bali.

Pada awalnya, Jasmine menyangka bahawa dia telah menempah Airbnb yang cukup selesa untuk tujuh ahli keluarganya.

Tetapi akhirnya dia telah mendapat lebih daripada apa yang diimpikan, selepas dia mendapati seminggu sebelum berlepas bahawa dia telah menempah seluruh hotel.

Dia diberitahu bahawa hotel yang dianggap sebagai Airbnb itu telah ditukar menjadi hotel baru-baru ini. Selepas beberapa rundingan dengan pihak pengurusan, seluruh hotel itu akhirnya milik Jasmine sekeluarga selama seminggu.

“Mereka mempunyai kakitangan sepenuh masa, pengawal keselamatan, tukang masak dan buggy untuk membawa anda bersiar-siar.

“Ia sangat besar untuk Airbnb tetapi agak kecil untuk hotel. Setiap bilik mempunyai kunci pada pintu dan mesin kopinya sendiri. Kami hanya bertujuh dan tempat itu sendiri mempunyai 18 orang,” kata Jasmine.

Jasmine yang merupakan pengurus pemasaran media sosial mengakui bahawa saiz hotel itu agak besar ketika keluarganya mula-mula tiba di hotel tersebut.

Restoran sentiasa tersedia untuk sediakan hidangan

Dia berkata: “Anda tidak mempunyai dapur sendiri, tetapi anda miliki sebuah restoran di sana dengan tukang masak setiap hari sehingga jam 11 malam. Anda boleh memesan sarapan, makan tengah hari dan makan malam.

“Ia agak janggal apabila semuanya hanya untuk saya dan keluarga saya,” katanya lagi.

Bagaimana pun, Jasmine berkata bahawa kesilapan itu sebagai satu impian menjadi kenyataan untuk keluarganya, terutamanya buat datuk dan neneknya.

Wanita muda itu yang menanggung segala perbelanjaan untuk percutian tersebut telah membenarkan datuk dan neneknya untuk memilih vila di Airbnb.

Dia menjelaskan bahawa walaupun mereka memilih vila yang paling mahal, dia tetap memutuskan untuk menempahnya.

Seminggu sebelum lawatan itu, Jasmine telah menerima panggilan daripada pengurus hotel yang menjelaskan bahawa vila itu telah bertukar menjadi sebuah hotel.

Pengurus hotel itu terkejut bagaimana Jasmin boleh mendapatkan tempahan pada harga yang rendah kerana menurutnya mereka biasanya tidak akan menurunkan harga yang rendah walaupun pada musim yang kurang popular.

Jasmine dimaklumkan lagi bahawa seluruh vila telah berubah, ia termasuk apa yang disertakan dan bilik.