Wanita tertekan akibat putus cinta cuba terjun jambatan Putrajaya

Wanita tertekan akibat putus cinta cuba terjun jambatan Putrajaya

 

Baru-baru ini, tular beberapa video dan foto memaparkan seorang wanita cuba terjun dari Jambatan Wawasan di Presint 2, Putrajaya  sehingga meraih perhatian ramai di platform Twitter.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai sekitar jam 6.25 pagi semalam dan memaklumkan terdapat seorang wanita dilihat cuba terjun dari jambatan berkenaan.

Susulan itu, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian dan memujuk wnaita berkenaan untuk membatalkan hasratnya.

Tertekan sebab putus cinta

Memetik laporan Kosmo! Online, wanita berkenaan dipercayai mengalami tekanan akibat putus cinta, namun berjaya diselamatkan daripada terjun jambatan.

“Rakaman percakapan mangsa telah diambil dan wanita berusia awal 20-an itu mengaku cuba terjun ke dalam tasik di jambatan itu selepas teman lelakinya bertindak memutuskan hubungan mereka…
“..dengan alsan wanita berkenaan mempunyai masalah mental,”ujar A. Asmadi.

Teman lelaki nak kahwin dengan wanita lain…

Katanya lagi, sebelum kejadian, wanita berkenaan telah menerima panggilan daripada teman lelakinya dengan menyatakan hasrat mahu memutuskan hubungan mereka.

Bukan itu sahaja, lelaki berkenaan memberitahu dia akan berkahwin dengan wanita lain. Tindakan itu mengakibatkan wanita berkenana hilang pertimbangan lalu cuba untuk terjun dari jambatan tersebut.

Ibu mangsa cakap pernah dapatkan rawatan psikiatri

Dalam pada itu, A. Asmadi berkata, ibu mangsa memaklumkan mangsa pernah mendapat rawatan psikiatri dan baharu sahaja disahkan sembuh.

“Pegawai Penyiasat kemudiannya telah membuat semakan di Bahagian Psikiatri sebuah hospital di Perak dan mengesahkan bahawa wanita berkenaan ada menerima rawatan di sana dengan tarikh rawatan terakhir pada 11 November 2022 dan bergantung kepada ubatan yang dibekalkan doktor,”ujar beliau.

Mangsa kemudiannya dibawa oleh Pegawai Penyiasat untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan di Hospital Putrajaya dengan ditemani oleh ahli keluarganya.