Wanita tidak gentar tumbuk hidung beruang demi selamatkan anjingnya

Wanita tidak gentar tumbuk hidung beruang demi selamatkan anjingnya

 

Seorang wanita tercedera digigit seekor beruang pada Jumaat lalu gara-gara menumbuk muka beruang yang mengejar anjing peliharaannya, lapor CNN.

Wanita bernama Lynn Kelly, 64, ketika kejadian dilaporkan sedang melakukan kerja-kerja di halaman belakang rumahnya di Porter, sempadan New Hampshire.

Menurut siaran berita Jabatan Perikanan Pedalaman Maine dan hidupan liar, anjing wanita itu dikatakan mula menyalak dan berlari ke dalam hutan seperti mengejar sesuatu.

Menurut Kelly selepas anjingnya kembali dari hutan, dia telah dikejar oleh seekor beruang.

“Saya berlari ke tempat anjing saya dan terus memanggilnya, dan akhirnya dia berlari semula. Di belakangnya terdapat seekor beruang sedang mengejar.

Beruang itu memandang saya dan saya memandangnya kembali. Saya rasa kami saling takut menakuti satu sama lain,” kata Kelly kepada stesen berita.

Sementara itu, Jabatan Perikanan Darat dan Hidupan Liar berkata bahawa: “Kelly berhadapan dengan beruang itu dan apabila beruang itu berdiri Kelly telah bertindak menumbuk hidung beruang itu.”

Menurut jabatan itu lagi, ketika itulah beruang tersebut menggigit tangan kanannya dan meninggalkan luka tusukan di pergelangan tangannya.

Beruang lepaskan gigitan selepas ditumbuk

Selepas menerima tumbukan Kelly, beruang itu kemudiannya melepaskan pergelangan tangannya dan berlari semula ke dalam hutan.

Kelly seterusnya dikatakan telah menelefon panggilan kecemasan 911 dan dibawa ke hospital tempatan untuk mendapatkan rawatan bagi kecederaan tersebut.

Kelly akhirnya telah keluar daripada hospital selepas mendapatkan rawatan. Anjing peliharaannya juga dilaporkan tidak cedera.

Sejak itu, beruang tersebut tidak pernah dilihat lagi oleh Kelly. Jabatan itu berkata bahawa mereka telah memasang dua perangkap dalam cubaan menangkap haiwan itu.

Dalam pada itu, jabatan itu juga memberi amaran kepada penduduk Maine supaya menjaga jarak jika melihat atau bertembung dengan beruang.

Selain itu, pemilik anjing juga dinasihat supaya menggunakan tali sewaktu membawa anjing mereka keluar dari rumah.

Berdasarkan jabatan itu, dianggarkan sebanyak 24,000 hingga 36,000 beruang hitam tinggal di seluruh Maine.

Menurut jabatan itu lagi, panggilan berkaitan beruang meningkat semasa musim bunga dan panas. Konflik dengan beruang dipercayai boleh dielakkan dengan membuang tarikan sumber makanan di sekitar rumah.