Warga emas dedah petua nak kekal sihat, jangan makan gula

Warga emas dedah petua nak kekal sihat, jangan makan gula

 

“Mak cik tak makan gula. Kalau beli sekilo gula tu boleh tahan sampai setahun.” kata warga emas, Azizah Awang Dollah, 73.

Itulah petua yang diamalkan warga emas dari Kota Bharu, Kelantan untuk kekal sihat hingga membolehkannya ke Makkah tanpa pengiring.

Dia sudah mendapat panggilan dari Tabung Haji sebanyak empat kali sebelum ini tetapi terpaksa ditolak kerana patah kaki, pandemik Covid-19 dan bertukar nombor telefon.

“Apabila mendapat panggilan lagi untuk kali kelima ini, mak cik fikir kena pergi juga sebab Allah SWT sudah panggil. Empat kali dah tolak kali ini kena pergi juga walaupun tiada peneman,” katanya.

“Mak cik yakin Allah SWT ada dan akan bantu mak cik walaupun pergi seorang,” katanya lagi ketika ditemui Petugas Media Tabung Haji di sini.

Dia juga yakin boleh mengerjakan haji dengan sempurna kerana sudah mengikuti kursus haji setiap kali mendapat panggilan.

Azizah yang mempunyai seorang anak berusia 40 tahun dan dua orang cucu berkata, anaknya tidak perlu mengiringinya kerana berasa masih mampu dan tiada penyakit kronik seperti darah tinggi mahupun jantung.

“Cuma mak cik kena beringat dan bawa duit lebih sikit untuk upah orang tolak kerusi roda seperti ketika umrah pertama tempoh hari,” katanya lagi yang menginap di Maktab 77 Tabung Haji di sini.

Ketika diminta menyambung perkongsiannya mengenai petua kekal sihat, dia menasihatkan supaya kita amalkan makan sederhana, berhenti sebelum kenyang, elakkan makan berminyak dan hanya makan makanan direbus saja.

“Mak cik juga makan habbatus sauda dan minyak zaitun setiap hari sebagai amalan untuk kekal sihat,” katanya.

Ditanya mengenai simpanan tabung hajinya pula, pesara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) itu berkata, dia amalkan menyimpan sejak mula bekerja pada usia 29 tahun.

“Mak cik buat potongan gaji serendah RM20 sebagai permulaan dan ditambah apabila gaji meningkat dari semasa ke semasa.

“Mak cik juga akan tambah sekiranya ada duit lebih,” katanya lagi sambil menyarankan supaya orang muda membuka akaun Tabung Haji secepat mungkin dan daftar haji apabila sudah cukup untuk memastikan mendapat tempat ketika usia muda.