Warganet sebak lihat anak gajah enggan lepaskan penjaganya

Warganet sebak lihat anak gajah enggan lepaskan penjaganya

 

Haiwan liar boleh membentuk hubungan kuat dengan manusia yang menjaga mereka sejak kecil dan video tular berlaku di Thailand menunjukkan seekor gajah enggan melepaskan penjaganya telah meruntun hati pengguna media sosial.

Dalam perkongsian video oleh seorang kakitangan syarikat kereta api di platform X menyaksikan seekor gajah memeluk seorang lelaki dengan belalainya seolah-olah berat melepaskannya pergi ke habitat asalnya.

Dapat disaksikan anak gajah itu saling bertukar pelukan dengan penjaganya dengan menampakkan suasana sayu di sebuah lokasi yang tidak didedahkan dalam video itu.

Gajah tersebut kelihatan mengejar penjaganya yang cuba ‘lari’ menaiki motosikal dengan seorang rakannya dan berjaya menyekat motosikal tersebut.

“Ikatan antara gajah dan penjaganya sangat luar biasa. Ia seperti tidak melepaskannya,” kata kakitangan kereta api, Ananth Rupanagudi dalam video yang mendapat 40,000 tontonan.

“Ia satu ikatan yang mulia dan menyentuh hati semua orang..semoga Tuhan memberkati mereka,” menurut ciapan pengguna di platform X.

Seorang lagi pengguna media sosial menambah, hubungan akrab manusia dengan haiwan sangat bermakna jika masing-masing saling sayang menyayangi.

“Perhubungan erat antara seorang lelaki dan seekor gajah sangat menyentuh hati. Perhatikan bagaimana penjaganya berhati-hati mengendalikan haiwan tersebut sebelum mereka berpisah,” katanya.

Kisah mengenai gajah dan manusia pernah menjadi tular di media sosial sebelum ini di mana haiwan tersebut pernah menyelamatkan seorang lelaki lemas di Thailand.

Pada tahun 2016, rakaman menunjukkan seekor gajah meredah sungai untuk menyelamatkan seorang lelaki daripada mati lemas. Kejadian tersebut dirakamkan di Taman Alam Semulajadi Gajah di Utara Thailand.