Warganet terkejut tengok lipatan kain baju warga emas ini kemas, cantik dan tersusun

Warganet terkejut tengok lipatan kain baju warga emas ini kemas, cantik dan tersusun

 

PASANGAN suami isteri ini cukup bertuah sebaik menjejakkan kaki ke rumah seorang warga emas di Kuala Krai, Kelantan.

Manakan tidak, ruang menyimpan pakaian meskipun sederhana tetapi memukau kerana susun aturnya terlalu kemas.

Menyaksikannya di depan mata, Mohamad Noh Isnaninee, 36, berkata dua rak yang dipenuhi kain berlipat dan disusun begitu teliti membuatkan dia dan isteri berasa kagum dengan orang lama.

Usahawan yang berniaga cendol di Pura Kencana, Batu Pahat, Johor ini berkongsi pengalaman menariknya ketika bercuti di Dabong, Kelantan pada Isnin.

 

“Makcik tu sebenarnya nenek kepada kawan isteri saya yang bekerja di syarikat sama. Kebetulan mereka tahu kami pergi berjalan-jalan di Kelantan, dia pun pelawa kami tinggal di rumah dia.

“Setibanya di rumah dia, kami terkejut tengok susunan barang-barang termasuk semua pakaian. Keadaan sekeliling dalam rumah sangat kemas dan bersih,” katanya kepada mStar.

Menerusi video yang dikongsikan Noh di TikTok, isterinya merakamkan keadaan pakaian di ruangan tengah rumah nenek, Zaini Mamaat yang berusia 57 tahun.

Menurut bapa kepada dua cahaya mata ini, Zaini merupakan seorang tukang urut kampung di Kuala Krai.

Maka tidak hairanlah wanita itu memiliki banyak kain batik, hasil pemberian pelanggannya sebagai upah mengurut.

Malah, sebelum Noh, isteri dan anak-anaknya pulang ke Johor selepas bercuti selama empat hari, mereka dihadiahkan beberapa helai kain batik dan kain pelikat.

“Rak tu ada banyak tuala, baju dan seluar. Semua tersusun rapi, kemas macam susun pakai pembaris. Cara nenek lipat baju pun macam pakai mesin cetak semua sama je.

“Nenek melipat pakaian setiap hari. Dia seorang buat semua, lebih kurang 30 minit dia ambil masa untuk melipat pakaian setiap hari.

“Nenek hadiahkan saya kain batik, siap suruh pilih sendiri nak yang mana. Saya terharu nenek bagi je saya ambil sendiri kain dekat rak tu,” ujarnya.

Selain Noh dan isteri, orang ramai turut kagum melihat susunan kain dan baju di rak sehingga nenek ini diminta untuk mengajarkan tentang cara-cara melipat pakaian dengan kemas.

Noh yang merupakan anak angkat keluarga itu bagaimanapun menyangkal dakwaan segelintir komen netizen yang melabelkan nenek berkenaan menghidapi penyakit gangguan obsesif kompulsif (OCD).

“Sebenarnya nenek tak ada penyakit macam tu. Nenek memang rajin dan pembersih, sebab tu dia suka mengemas.

“Kami terpegun tengok barang-barang nenek ni tersusun termasuk bekas-bekas dia simpan bahan masakan di dapur. Tapi anak cucu dia dah terbiasa dengan keadaan macam tu,” ujarnya.