Warisan mahu pembangkang terus kuat, fokus hadapi PRU-15

Warisan mahu pembangkang terus kuat, fokus hadapi PRU-15

Walaupun tanda tanya siapa Perdana Menteri kesembilan sudah terjawab dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari Barisan Nasional (BN) telah mengangkat sumpah jawatan namun masih ada suara-suara tidak berpuas hati.

Ini datang dari blok pembangkang yang mahu Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dipilih sebagai perdana menteri bagi menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bualan itu mendapat perhatian Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman yang meminta semua pihak berhenti daripada bercakap mengenai sekiranya Mohd Shafie adalah calon perdana menteri dari pembangkang.

“Berhenti bercakap mengenai sekiranya DSSA (Mohd Shafie Apdal) adalah calon dari pembangkang atau saya mempunyai nombor dan kami bertengkar dengan itu.

“Mari bergerak ke hadapan. Tidak ada gunanya membicarakan masa lalu sedangkan masa depan lebih penting iaitu bersatu.

“Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin tebal (dekat) dan pantas. Mari teruskan (menarik sokongan rakyat),” katanya yang juga Ahli Parlimen Sepanggar.

Nama Mohd Shafie yang merupakan mantan Ketua Menteri Sabah antara yang disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri kesembilan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu.

Berikutan itu, Yang di-Pertuan Agong terpaksa mendapatkan senarai nama daripada ketua-ketua parti beserta dengan surat akuan sumpan (SD) bagi yang mendapat sokongan majoriti.

Bagaimanapun, dalam rentetan politik selama tiga hari itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO mendapat 114 sokongan Ahli Parlimen, sekali gus menidakkan dua nama yang disebut, iaitu Anwar dan Mohd Shafie.

Azis sebelum itu membuat perkiraan dengan rakan Ahli Parlimen pembangkang, sekiranya Anwar tidak mendapat majoriti, sokongan 105 Ahli Dewan Rakyat harus diberikan kepada Mohd Shafie.

Sumber – MalaysiaGazette