Warisan Plus pegang janji, tiada pertembungan sesama rakan parti
Tiada pertembungan sesama sendiri antara gabungan saingan BN-PN-PBS, Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, PKR, DAP, Amanah dan Upko.
Walaupun PKR pada mulanya kesal kerana mendapat tujuh dari 14 kerusi yang diinginkannya, namun Presiden PKR Anwar Ibrahim nampaknya menepati janji dengan tidak membenarkan penggunaan logo PKR melebihi tujuh calon berkenaan.
DAP juga bertanding tujuh kerusi manakala Amanah pula bertanding satu kerusi. Kedua-duanya menggunakan logo Warisan.
Menariknya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyenaraikan Amanah bertanding dengan logo sendiri.
Bagaimanapun, pengarah pilihan raya Amanah Sabah Harieyadi Karmin menegaskan Amanah menggunakan logo Warisan, berkata SPR mungkin tersilap.
“Saya rasa ini satu kesilapan. Saya akan merujuk kepada SPR. Pencalonan kami diterima oleh SPR sebagai calon Warisan, bukan Amanah,” katanya kepada Malaysiakini.
Warisan bertanding 46 kerusi manakala Upko, yang menggunakan logo sendiri, bertanding 12 kerusi.
Sumber : Malaysiakini