Wujud cubaan gunakan ‘Anak Harun’ untuk lengahkan pembukaan parlimen

Wujud cubaan gunakan ‘Anak Harun’ untuk lengahkan pembukaan parlimen
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mendakwa terdapat usaha sistematik sedang digerakkan untuk menggunakan Pejabat Peguam Negara dan Pejabat Speaker Parlimen bagi melengahkan sesi Parlimen, di saat kerajaan dilihat terus gagal mengemudi negara.

“Malaysia dilihat sebagai antara negara yang paling lemah di pelbagai segi dalam mengawal pandemik, samada perolehan vaksin, tahap ujian saringan dan penggunaan langkah perintah kawalan pergerakan (PKP).

Semalam, Peguam Negara Idrus Harun berkata Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri berhubung langkah memanggil sidang Parlimen.

Perkara itu katanya, adalah menurut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Malah selain itu beliau berkata, tarikh mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara juga ditentukan oleh Jemaah Menteri.

Dalam pada itu, Anwar berkata mungkin sudah terlambat untuk membetulkan keadaan tetapi untuk mula membetulkannya, Parlimen mesti segera bersidang.

Beliau juga berkata undang-undang diguna pakai sewenang-wenangnya bagi melindungi kerajaan yang tidak sah.

“Persoalan tentang keabsahan bukan hal teori. Keabsahan kerajaan PN tidak pernah dibuktikan sejak ia mula didirikan tahun lalu, dan menurut mekanisme yang sah di dalam Demokrasi Berparlimen, kerajaan mesti menjawab persoalan kepercayaan di Parlimen,” katanya.

Anwar juga berkata kenyataan Peguam Negara berlatarbelakangkan kenyataan oleh Agong dan Raja-raja Melayu pada 16 Jun dilihat sebagai melampau dan menghina Istana Negara.

Katanya, ini akan mengheret negara ke lembah krisis Perlembagaan.

“Agong hanya menyampaikan kekecewaan majoriti Ahli-ahli Parlimen dan rakyat Malaysia, apatah lagi kerajaan ini masih gagal mengawal wabak meski dikurniakan kuasa darurat.

“Mengapa untuk mengadakan sidang Parlimen seolah-olah begitu payah dan sukar, sedangkan kilang-kilang, restoran-restoran dan kini ada beberapa Dewan Undangan Negeri juga sudah mula beroperasi,” katanya.

Sumber : FMT