“Yang rakyat tuntut janji untuk turunkan harga petrol, bukan hapus pelekat cukai jalan” – Muhyiddin

“Yang rakyat tuntut janji untuk turunkan harga petrol, bukan hapus pelekat cukai jalan” – Muhyiddin

 

Sebahagian besar rakyat yang mengundi dan memilih kerajaan baharu penat menantikan tindakan segera Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menangani masalah kos sara hidup dan ekonomi yang kritikal ketika ini.

Memetik MalaysiaGazette, Pengerusi Perikatan Nasional (PN),Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, setakat ini beliau belum melihat sebarang tindakan serius dalam menangani isu pokok yang menekan rakyat.

Katanya, apabila Kerajaan Perpaduan dibentuk, rakyat mengharapkan kerajaan menyelesaikan masalah kos sara hidup kerana masih terkesan selepas berhadapan pandemik Covid-19.

“Rakyat masih terbeban teruk dengan pelbagai isu seperti kos sara hidup tinggi, inflasi, harga barang yang tidak turun dan harga petrol yang dijanjikan turun namun tidak menjadi kenyataan sehingga hari ini.

“Terdapat beberapa perkara yang wajar diputuskan kerajaan secara cepat tanpa membabitkan perbelanjaan dana kerajaan (bukan fiskal), namun sehingga hari ini masih tidak dilaksanakan.

“Sebaliknya mengumumkan perkara bukan utama iaitu ‘tak perlu paparkan cukai jalan di cermin kereta’.. ini bukan apa yang diharapkan rakyat sekarang.

“Malah, sebahagian rakyat menuntut wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) dikeluarkan secara bersasar yang sepatutnya diberi perhatian serius kerana ia tidak melibatkan dana kerajaan dan boleh dilaksanakan bagi mengurangkan beban rakyat,” katanya kepada pemberita pada Majlis Kesyukuran Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Dr. Radzi Jidin di Kompleks Kejiranan Presint 8, di sini hari ini.

Tambah bekas perdana menteri itu, ada pihak yang membahaskan sekiranya wang KWSP dikeluarkan pencarum akan berhadapan masalah pada masa depan yang dianggap perkara tidak masuk akal.

“Ya memang betul tetapi perkara itu soal kedua, dan sekiranya kerajaan tidak lakukan perkara itu rakyat akan terus berhadapan kesukaran dan ditekan inflasi sedangkan mereka ada wang simpanan yang boleh digunakan dan ini bukan libatkan perbelanjaan kerajaan pun, kenapa perlu risau sangat.

“Lagipun, semasa pentadbiran saya pada waktu PKP Covid-19, kami meluluskan pengeluaran KWSP iaitu seperti i-Sinar,i-Citra dan i-Lestari termasuk memberi moratorium penangguhan bayaran pinjaman bank yang mana bank mendapat keuntungan berbilion tanpa mengalami kerugian dan kenapa kerajaan sekarang teragak-agak untuk meneruskan perkara itu bagi membantu rakyat,” soal Muhyiddin.

Tegas Muhyiddin lagi, setakat ini tiada langkah berkesan yang ditunjukkan Kerajaan Perpaduan bagi meyakinkan rakyat, yang ada cuma pengumumam Anwar mengenai pelantikan anaknya, Nurul Izzah sebagai Penasihat Khas Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

“Anwar tidak memegang pada janji apabila mengkhianati semangat perjuangan reformasi yang dilaung-laungkannya selama lebih dua dekad lalu selepas melantik anaknya memegang jawatan itu..isu di sini bukan soal tidak dibayar gaji tetapi kuasa disalahgunakan.

“Cuba kalau saya lantik anak saya yang layak jadi penasihat kewangan negara apa tuan-tuan akan kata? Ini soal kuasa yang menimbulkan persoalan tentang hala tuju kerajaan semasa,” kata beliau lagi.