Yasin Sulaiman dedah punca berat badan turun mendadak, bukan penjara tak beri makan

Yasin Sulaiman dedah punca berat badan turun mendadak, bukan penjara tak beri makan

Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman mendedahkan dirinya menghidap penyakit tiroid sejak lima bulan lalu sehingga mengalami penurunan berat badan sebanyak 18 kilogram (kg).

Menurut laporan Harian Metro, penyanyi berusia 48 tahun itu berkata, dia tidak mahu orang ramai beranggapan bahawa pihak Jabatan Penjara tidak memberi makan atau mengabaikan soal kebajikan disebabkan perubahan fizikalnya.

 

“Seperti semua dapat lihat, saya kurus sekarang. Semasa masuk penjara dulu berat badan saya 66 kilogram dan sekarang 48 kilogram.
“Saya tidak mahu ada orang berandaian penjara tidak beri makan. Penjara banyak makanan sehingga melimpah ruah dan sebenarnya ramai saja banduan yang gemuk.
“Saya derita tiroid selama lima bulan tapi alhamdulillah dengan bantuan dan pertolongan pihak penjara, saya mendapat ubat-ubatan serta menjalani rawatan susulan setiap bulan,” katanya.

Peguam bela Yasin iaitu Ariff Azami Hussein pula berkata, keadaan kesihatan penyanyi Mimpi Laila akan dimasukkan ke dalam dokumen representasi keempat yang bakal difailkan tidak lama lagi.

“Kita (pembelaan) tidak meminta sesuatu yang luar biasa atau ‘miracle’ tapi yang ada asas dan boleh dibenarkan undang-undang.
“Kita tetap yakin walaupun ditolak kali ketiga, kita akan masukkan lagi yang keempat mungkin dengan sedikit perubahan terma.
“Kita tetap optimis kes ini boleh diselesaikan tanpa melalui perbicaraan kerana Yasin adalah kategori tertuduh unik kerana seorang pesakit dan boleh diberikan peluang,” ujarnya.

 

Terdahulu, Yasin didakwa menggunakan dadah jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada 11.05 malam, 24 Mac 2022.

Dia juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan daripadanya kanabis di kediamannya di Kota Damansara, Petaling Jaya pada petang tarikh sama.