YouTuber Cina ini review ayam DFC, sekali netizen pula yang geram
Seorang food reviewer berbangsa Cina, Hungry Sam telah mencuba sendiri Darsa Fried Chicken atau DFC, untuk mengetahui sama ada ianya benar benar boleh menjadi pengganti kepada KFC.
Ini memandangkan KFC menutup lebih 100 cawangan mereka di seluruh negara atas faktor ekonomi.
Selain itu, ketika ini ramai pelanggan mengeluh dengan KFC yang dianggap seringkali menghidangkan ayam yang bersaiz kecil.
Jadi Sam mahu tahu sendiri, sama ada DFC benar benar ada potensi menggantikan KFC dari segi kualiti ayam goreng dan hidangannya?
Sebelum ini Darsa Fried Chicken membuat kontroversi apabila pentadbir media sosial mereka menggunakan komen berbaur perkauman dengan melabel ada ‘type c’ cuba menjatuhkan perniagaan mereka.
Darsa Fried Chicken kemudian meminta maaf di atas kesilapan pentadbir media sosial mereka. Dan menyatakan bahawa Darsa Fried Chicken mengalu alukan sesiapa sahaja datang ke kedai mereka tanpa mengira bangsa dan agama.
Hungry Sam yang berbangsa Cina telah mencuba sendiri DFC. Dan ternyata dia benar benar berpuas hati dengan kualiti ayam serta sos bawang.
Sam berkata: “Saya menunggu sejam [untuk mendapatkan ayam DFC], lebih baik kamu sedap.
“Jom cuba dia punya coleslaw dahulu, seperti sayur yang dicincang. Rasanya manis, saya tak suka yang ni.
“Ini [kentang putar] dia nampak seksi [menggoda]. Sejuklah pula. Kalau mereka hidangkan ia panas, ini akan jadi hidangan sempurna. Rasanya bagus sekali.”
Kemudian Sam beralih kepada ayam goreng Darsa yang didakwa boleh menjadi pilihan baharu menggantikan ayam goreng KFC.
Sam jelas teruja dengan kualiti ayam goreng berempah.
“Ayam goreng berempah dia sangat comel. Berbaloi saya tunggu lama. Dan ayamnya digoreng segar. Yang ni benar benar sedap.
“Jom cuba sos bawang putih dia.”
Sam menunjukkan wajah berpuas hatinya sambil memberikan markah 9.2/10 untuk sos bawang putih itu.
“Ini sedap la kawan. Dengar kata mereka nak ganti KFC kan? Tiada masalah!
“Saya pasti akan pilih DFC berbanding KFC pada bila bila masa. Ayam ini benar benar mewakili rasa Malaysia.
“Kentang putar KFC bagus. Namun DFC punya lagi sedap.
“Coleslaw KFC teruk, DFC pula lagi teruk,” tegas Sam.
Dia kemudian memuji saiz ayam yang sangat besar dan berharap DFC boleh mengekalkan standard dan kualiti hidangan mereka.
Sam menyatakan: “Lihat tulang dia warna putih, bermakna ini ayam segar. Harap mereka boleh kekalkan kualiti ini.
Sambil Sam menari nari kegembiraan menikmati ayam goreng dicicah pada sos bawang putih: “Ini sedap.. yeah!”
Akhir sekali dia berharap DFC dapat meluaskan perniagaan mereka kalau serius mahu menggantikan KFC di hati rakyat Malaysia.
“Jika kamu benar benar nak ganti KFC, besarkan perniagaan kamu. Kepada mereka yang bekerja di KFC sebelum ini, boleh kerja di DFC.
Dia sekali lagi memuji sos bawang putih: “Sos bawang putih dia memang terlalu sedap. Perfecto!”
Netizen daripada pelbagai bangsa benar benar terpengaruh dengan reviu daripada Sam dan ramai menyatakan mereka benar benar mahu mencuba DFC selepas ini.
Yang lain menyatakan mereka geram dengan ulasan oleh Sam yang benar benar membuatkan mereka lapar.
“Dia punya bunyi tu, geram je. Auto lapar,” tulis mereka.
Tak kurang juga yang berbangga dengan Sam kerana menunjukkan semangat Type M (rakyat Malaysia) sebenar kerana menyokong perniagaan orang tempatan dan dianggap jujur. Kerana menurut mereka untuk coleslaw, memang rasanya agak kurang dan harap dapat diperbaiki.
Seterusnya seorang lagi berkata: “Terima kasih ‘Type C’ untuk review ini. Peringatan untuk mana-mana produk muslim lepas ni. Fokus baiki kualiti, elakkan sentimen mengguris hati.”
Vanessa Lim berharap DFC akan membuka cawangan di tempatnya.