Yusof Haslam titip pesanan buat Syamsul, jangan ‘bengkak hati’ & berdendam jika Sarah bertemu jodoh lain

Yusof Haslam titip pesanan buat Syamsul, jangan ‘bengkak hati’ & berdendam jika Sarah bertemu jodoh lain

 

Macam yang diketahui ramai, pengarah filem Syamsul Yusof akhirnya bersetuju untuk melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah pada 18 April ini.

Susulan keputusan yang diambil kedua-dua belah pihak ini, Datuk Yusof Haslam terpanggil untuk meninggalkan pesanan buat anak lelakinya.

Penerbit itu mengingatkan Syamsul untuk membuang ego dan tidak menyimpan dendam terharap Puteri Sarah selepas melafazkan cerai kelak.

Menurut Yusof Haslam, dia tetap menghormati keputusan diambil anak dan menantunya ini walaupun hubungan itu akan terlerai tidak lama lagi.

“Ini bukan perpisahan yang biasa tetapi perpisahan yang meninggalkan zuriat. Jadi saya harap baik sang isteri atau sang suami, masing-masing tahu tanggungjawab. Masing-masing kena buang ego, jangan pentingkan diri, fikir masa depan anak-anak.”

Dalam masa yang sama, dia berharap baik Syamsul dan Puteri Sarah tidak ada menyimpan dendam di dalam hati mereka selepas mengambil keputusan untuk berpisah.

Jelasnya, dia tetap akan menganggap Puteri Sarah sebagai menantunya dan memberikan layanan yang sama seperti selalu.

Titip pesanan buat Syamsul

Yusof Haslam turut mengingatkan Syamsul untuk menerima dengan hati yang terbuka sekiranya Puteri Sarah akan bertemu dengan pasangan baru dalam hidupnya nanti.

Malah dia berharap silaturahim di antara mereka akan kekal terjaga demi kedua-dua anak mereka iaitu Syaikhul Islam dan Sumayyah.

“Kelak jika bekas isteri ada bertemu pasangan lain, Syamsul jangan bengkak hati, jangan berdendam. Saya sangat berharap agar silaturahim antara mereka terjaga demi anak-anak.”

Terdahulu, konflik rumah tangga Syamsul Yusof dan Puteri Sarah semakin menemui jalan penamatnya apabila pengarah filem itu bersetuju untuk melepaskan isterinya.

Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan menetapkan 18 April untuk Syamsul melafazkan cerai.

Keputusan tersebut dilakukan selepas peguam syarie kedua-dua belah pihak telah memaklumkan terdapat penyelesaian terbaru antara Syamsul dan Puteri Sarah.

Malah pasangan itu juga dilaporkan telah bersemuka dan berbincang dengan cara yang baik untuk perpisahan tersebut.