Zafrul dibidas sering berdolak dalih kebenaran moratorium kumpulan M40

Zafrul dibidas sering berdolak dalih kebenaran moratorium kumpulan M40

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa kerajaan perlu membayar kos pampasan kepada institusi perbankan jika moratorium dilaksanakan kepada semua peminjam.

Lim berkata, sekiranya alasan itu benar, mengapa institusi perbankan boleh menanggung kos moratorium automatik kepada peminjam B40 tanpa sebarang pampasan namun tidak bagi peminjam M40.

“Sekiranya institusi perbankan mampu menanggung kos moratorium pinjaman bank secara automatik kepada peminjam B40, ia sememangnya mampu berbuat demikian untuk peminjam M40.

“Ini ekoran keuntungan sihat industri perbankan yang mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM32.3 bilion pada 2019 dan RM23 bilion pada 2020,” katanya dalam kenyataan.

Malah, Lim berkata, CIMB Group Holdings Bhd melaporkan keuntungan bersih suku pertama 2021 yang paling tinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM2.46 billion berbanding RM507.93 juta tahun sebelumnya.

“Adalah ketara sekali bahawa institusi perbankan memang mampu menjalankan tanggungjawab korporat sosial dengan keuntungan yang begitu tinggi,” katanya.

Lim berkata, dalam keadaan kemelesetan ekonomi, institusi perbankan yang terus beroperasi dalam keuntungan wajar membantu peminjam yang terus tertekan akibat Covid-19.

“Jangan biarkan hanya rakyat susah tetapi industri perbankan yang senang demi mengelakkan persepsi negatif bahawa kerajaan hanya mendengar suara syarikat besar, tetapi memekakkan telinga dengan rintihan rakyat.

“Jangan lupakan dan biarkan golongan M40 tercicir begitu sahaja kerana industri perbankan memang mampu menanggung kos moratorium pinjaman bank secara automatik kepada peminjam M40,” katanya.

DAP sebelum ini berulang kali mendesak kerajaan melaksanakan semula moratorium automatik kepada peminjam B40 dan M40 sehingga akhir tahun, selari dengan sasaran kerajaan melengkapkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ia juga bagi meredakan keresahan rakyat ekoran pelaksanaan sekatan penuh pergerakan sejak 1 Jun lalu.

Dalam temu ramah eksklusif bersama Sinar Harian, Zafrul berkata walaupun Ordinan Darurat telah memberikan kuasa kepada kerajaan untuk memaksa bank mengenakan moratorium, ia juga menetapkan bahawa kerajaan perlu membayar balik kos pampasan kepada institusi perbankan sekiranya bertekad mahu moratorium pukal dilaksanakan.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/05/b40-boleh-tanggung-kenapa-m40-tak-boleh-guan-eng-persoal-menteri-kewangan/