Zafrul pilih malukan Najib secara terbuka

Zafrul pilih malukan Najib secara terbuka

Hutang kerajaan kini berjumlah RM1.045 trilion atau 63.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) setakat Jun tahun ini.

Memetik laporan Malaysiakini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam jawapan bertulis kepada Karupaiya Mutusami (Pakatan Harapan – Padang Serai) berkata RM43.1 bilion, atau 18.4 peratus, daripada anggaran jumlah hasil Putrajaya, diperuntukkan untuk bayaran khidmat hutang kerajaan persekutuan untuk 2022.

“Sehingga akhir-Jun 2022, sebanyak RM19.8 bilion telah dibelanjakan bagi tujuan pembayaran faedah ke atas hutang terkumpul kerajaan persekutuan.

“Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan pembayaran faedah dilakukan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Bayaran khidmat hutang ini diperuntuk sebagai item tanggungan T13 iaitu salah satu perbelanjaan tanggungan yang diberi keutamaan terlebih dahulu daripada item perbelanjaan yang lain, seperti yang termaktub di bawah Perkara 98(1)(b) Perlembagaan Persekutuan iaitu segala caj hutang adalah di bawah tanggungan kerajaan persekutuan,” katanya dalam jawapan bertarikh 20 Julai.

Awal minggu ini, Zafrul memberi jaminan bahawa kedudukan fiskal negara masih kukuh dan hutang kerajaan persekutuan masih terkawal.

Dia berkata kerajaan kekal berdisiplin tinggi dan tidak pernah gagal membayar faedah dan hutang matang walaupun telah melalui beberapa siri krisis kemelesetan ekonomi dan kewangan.

Dilaporkan bahawa pada akhir Jun 2022, pinjaman luar pesisir berjumlah RM29.4 bilion, manakala hutang berkanun menyumbang 60.4 peratus daripada KDNK.

Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 memperuntukkan pinjaman luar pesisir tidak melebihi RM35 bilion dan Akta Interim bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 2021 menetapkan had berkanun hutang kerajaan tidak boleh melebihi 65 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).