Zahid, Annuar Musa bercakaran lagi
Umum maklum akan hubungan dingin antara Annuar Musa dengan presiden partinya, Zahid Hamidi sebelum ini.
Antara puncanya berhubung sikap yang ditunjukkan oleh Annuar Musa sewaktu menjadi setiausaha agung BN, yang dilihat lebih cenderung taat kepada parti Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin berbanding Zahid sendiri.
Akibatnya, Annuar terpaksa membayar sikap songsangnya itu dengan harga yang mahal apabila dipecat daripada jawatan tersebut.
Rentetan daripada peristiwa tersebut, hubungan Annuar dan Zahid umpama retak menanti belah. Terlalu sukar untuk diperbaiki, ulas penganlisa politik yang cerdik pandai.
Sikap berterusan Zahid dalam membawa UMNO memusuhi Bersatu pimpinan Muhyiddin juga seringkali ditingkah Annuar. Malah tindakan Annuar agar UMNO dan Bersatu saling kuat menguatkan antara satu sama lain mendapat sokongan hampir 2/3 MP UMNO.
Manakala Zahid meskipun sekadar disokong MP bermasalah sepertinya, namun masih kekal mengcengkam akar umbi parti, dimana sebahagian besar ketua-ketua bahagian UMNO memilih menyebelahinya pada masa itu.
Ini dibuktikan lagi sewaktu Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) baru-baru ini, apabila usul memutuskan hubungan dengan Bersatu berjaya mendapat sokongan majoriti perwakilan.
Malah nama Zahid kembali mewangi selepas berjaya memaksa Muhyiddin meletakkan jawatan selepas daripada penarikan sokongan 14 MP UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional selepas PAU 2020.
Ianya sekaligus memulih kepercayaan ahli terhadapnya selepas berjanji membawa UMNO kembali sebagai parti tonggak kerajaan sebelum PRU-15 seperti diucapkannya dalam PAU 2019 sebelum itu.
Berbalik kepada kisah Annuar dan Zahid, perseteruan mereka berdua kembali memuncak selepas tercetusnya krisis politik di Melaka, apabila 4 ADUN (2 ADUN UMNO, seorang Bersatu dan seoeang bebas) menarik sokongan terhadap kerajaan di bawah pentadbiran Ketua Menterinya, Sulaiman Ali.
Meskipun menganggap tidak kisah kehilangan Melaka di bawah UMNO, namun Zahid mengajar pengerusi UMNO negeri yang juga speaker DUN Melaka, Ab Rauf bagaimana cara menyelamatkan sisa-sisa pemerintahan daripada runtuh.
Selepas gagal meyakinkan kelebihan majoriti yang cukup untuk terus mentadbir, Sulaiman bertindak memohon pembubaran DUN Melaka ke hadapan TYT YDP. Tanpa berfikir panjang, TYT YDP negeri Melaka meluluskan permohonan tersebut, sesuatu yang ditolak beliau ketika dimohon oleh kerajaan PH pimpinan Adly Zahari sewaktu berlaku perkara hampir serupa seperti sekarang ini.
Ternyata, perkenan bubar DUN Melaka oleh TYT YDP ini mengundang musibah kepada hubungan UMNO dan Bersatu. Kedua-dua parti teras Melayu tersebut terus bertegang urat, enggan mengalah daripada hasrat ingin memimpin pilihanraya mewakili parti kerajaan federal.
Bersatu melalui kenyataan Muhyiddin semalam menyatakan kesediaan bertanding 3 penjuru menentang UMNO dan PH, manakala Zahid pula dalam lewat kenyataannya menegaskan kembali tidak akan bersama-sama Bersatu untuk bergabung dalam satu pakatan menentang PH.
Keputusan itu menimbulkan kegusaran terhadap kem MP UMNO berkiblatkan Bersatu. Annuar yang dianggap ‘maatermind’ kem tersebut telah menaikkan satu hantaran FB, meluahkan kekecewaanya terhadap keputusan Zahid enggan bergabung bersama PN menentang PH.
Tulisnya, sebarang agenda bersifat memecah belah solidariti kelompok teras,iaitu Melayu/Islam/Bumiputera adalah ramuan tepat dan merupakan percubaan memperkasa semula PH.
Malah dia dan rakan-rakan ‘komplotnya’ percaya PH amat berharap dan menanti nantikan saat UMNO tidak lagi dalam saf PENYATUAN ummah.
Annuar turut sempat menyindir Zahid apabila mengingatkan presiden UMNO itu bahawa selama ini muafakat Melayu bersama rakan rakan lain yg sederhana dan setiakawan BN PN telah berkali kali menggagalkan perancangan cikgu dan maulana PH.
Pengunaan ayat cikgu itu jelas mmerujuk kepada perbualan antara Zahid terhadap Anwar dalam perbualan telefon seperti yang pernah tular suatu masa dahulu.
Melihatkan situasi mutakhir yang berlaku dalam UMNO sekarang ini, jelas UMNO berdepan situasi paling kritikal menjelang ujian sebenar dalam PRU-15 nanti.
Sebarang keputusan PRN Melaka nanti bakal memberi kesan kepada UMNO dan kepimpinan Zahid khususnya. Malah tidak mustahil Zahid terpaksa dijadikan korban sekiranya UMNO tewas di Melaka 20 November ini.