Zahid dicabar pecat keahlian menteri Umno jika enggan dituduh sebahagian punca kegagalan kerajaan PN

Zahid dicabar pecat keahlian menteri Umno jika enggan dituduh sebahagian punca kegagalan kerajaan PN

Cubaan untuk mengaitkan Umno dengan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerangi penularan Covid-19 tidak adil dan tidak seharusnya berlaku, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno berkata, walaupun beberapa Ahli Parlimen parti bersetuju menganggotai Kabinet pimpinan Muhyiddin Yassin, ia tidak bermakna Umno terlibat secara langsung dalam menentukan dasar negara.

Umno sebelum ini menyokong pembentukan kerajaan baharu diterajui oleh Muhyiddin namun parti itu tidak menyertai PN, malah mahu menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu dalam menghadapi PRU15.

Zahid berkata, segala ketetapan mengenai dasar berkait pengurusan pandemik Covid-19 dibuat sepenuhnya oleh kerajaan pimpinan PN.

“Adalah tidak adil apa sahaja kegagalan kerajaan PN cuba dikaitkan dengan Umno gara-gara beberapa Ahli Parlimen (Umno) menerima tawaran menganggotai kerajaan PN.

“Penentuan dasar negara menjadi hak mutlak kerajaan PN sejak Ordinan Darurat dilaksanakan,” katanya di Facebook.

Beliau menjawab kritikan segelintir pihak yang cuba “memalitkan” Umno dengan kegagalan PN terutama dalam menarik pelabur asing.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, bagi mengimbangi proses semak dan imbang, Umno komited menyalurkan pandangan kepada kerajaan PN menerusi pelbagai platform, memandangkan Parlimen digantung.

“Malangnya, kebanyakan pandangan dan nasihat (Umno) tentang Covid-19 kurang diberi perhatian. Mengapa jadi begitu? Saya fikir semua boleh mengandaikan sebabnya,” katanya.

Kerajaan pimpinan Muhyiddin menerima kritikan pelbagai pihak termasuk kalangan pemimpin Umno kerana dilihat gagal membendung pandemik Covid-19, walaupun melaksanakan Ordinan Darurat yang memberikan Putrajaya lebih kuasa dalam membuat keputusan.

Sebelum ini, bekas perdana menteri Najib Razak memberi amaran bahawa Umno akan dipersalahkan atas kegagalan kerajaan PN memulihkan ekonomi. – FMT