Zahid enggan layan desakan ganti Rauf ketuai UMNO Melaka

Zahid enggan layan desakan ganti Rauf ketuai UMNO Melaka

Timbalan Ketua Umno Melaka Ali Mohamad, mengakui Sulaiman Md Ali, wajar menggantian Ab Rauf Yusoh, sebagai ketua Umno negeri, lapor portal FMT hari ini.

Orang nombor dua Umno negeri itu, berkata Sulaiman paling layak dilantik sebagai menerajui Umno Melaka dan pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, sebagai mana kelaziman tradisi dalam Umno sendiri.

Katanya, kenyataan beliau sebelum ini bukan ingin memporakperandakan Umno negeri, sebaliknya ingin mempertahankan kedudukan Sulaiman sebagai ketua menteri sehingga habis penggal selepas ada individu yang “rakus” mengidam jawatan itu.

“Rakyat Melaka sudah tahu tentang seorang individu yang bercita-cita tinggi hendak menjadi ketua menteri selepas BN menang pilihan raya negeri (PRN) Melaka, November tahun lalu.

“Semua orang tahu siapa individu yang mengingkari keputusan pucuk pimpinan parti memilih Sulaiman sebagai ketua menteri dan individu yang sama juga menimbulkan onar dengan segala ugutan serta paksaan terhadap Sulaiman.

“Rakyat Melaka juga tahu punca kekecohan majlis angkat sumpah jawatan Sulaiman dilakukan sehingga pukul 1 pagi, sejurus BN diumumkan memenangi PRN Melaka,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Ali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangga Batu, berkata isu menggantikan Sulaiman sengaja diperbesarkan adalah tidak benar, sebaliknya menegaskan perkara tersebut ada asasnya.

“Kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang! Tunggulah nanti ada perkara yang akan didedahkan,” katanya.