Zahid nyaris menjadi mangsa ribut di Ipoh

Zahid nyaris menjadi mangsa ribut di Ipoh

Puting beliung yang melanda kawasan Tasek di Ipoh semalam terus meninggalkan kesan trauma kepada penduduk sekitar yang terlibat.

Antara yang nyaris menjadi mangsa dalam kejadian semalam ialah Zahid Baharudin, 42, bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-2 anjuran ASTRO.

Dia berdepan detik cemas apabila puting beliung setinggi bangunan tiga tingkat muncul depan mata ketika berada di kawasan Klebang berhampiran Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai, Ipoh, Perak yang dilanda ribut petang semalam.

Zahid yang ketika itu bersama isterinya Nurul Shuhada Osman, 27, berkata, mereka terpaksa berpatah balik dari kawasan itu kerana bimbang dilanda angin kencang berkenaan.

“Pertama kali saya lihat sendiri puting beliung depan mata. Mulanya saya tidak menyedarinya dan isteri yang memberitahu ada pusaran angin depan kami.

“Biasanya kalau dalam filem puting beliung akan bergerak dan jadi angin biasa selepas pusaran terlerai. Kami sempat melihatnya sekejap sebelum berpatah balik. Walaupun puting beliung itu terbentuk beberapa minit saja, serpihan zink dan pasir dari kawasan binaan berdekatan yang berterbangan terkena kereta kami,” katanya.

Zahid yang juga juara Akademi Fantasia 2 (AF2) berkata, dia ke Ipoh untuk melawat ibunya.