Zahid sahkan perletakan jawatan Sulaiman, Ab Rauf dijangka angkat sumpah KM Melaka dalam masa terdekat

Zahid sahkan perletakan jawatan Sulaiman, Ab Rauf dijangka angkat sumpah KM Melaka dalam masa terdekat

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata dia sudah menerima surat perletakan jawatan ketua menteri Melaka Sulaiman Md Ali.

Dia berkata surat perletakan jawatan itu diserahkan Sulaiman dalam pertemuan di pejabatnya di Parlimen.

“Saya ingin mengesahkan bahawa saya telah menerima surat perletakan jawatan ketua menteri Melaka.

“Saya akan menghadap Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam untuk mempersembahkan nama calon yang bersesuaian bagi menggantikan ketua menteri Melaka yang baru.

“(dan) saya mengharapkan kebijaksanaan Yang di-Pertua Negeri menerima watikah yang saya akan kemukakan dan majlis angkat sumpah mengikut kesesuaian tarikh Yang di-Pertua Negeri,” katanya dalam sidang media di Masjid Kampung Lebu, dekat Bentong di Pahang, hari ini.

Terdahulu Zahid bersama Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail menghadiri majlis santunan kasih Ramadan anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang di perkarangan masjid itu.

Ketika ditanya mengenai khabar angin berkaitan nama individu tertentu yang disebut bakal mengisi kekosongan jawatan itu, Ahmad Zahid enggan mengesahkan atau menafikan perkara itu.

“Kita tunggu pengumuman daripada kerajaan Melaka,” katanya lagi.

Sejak Isnin lalu, nama Pengerusi Umno Melaka yang juga Adun Tanjung Bidara Ab Rauf Yusoh kembali disebut bakal dilantik sebagai ketua menteri yang baru.

Isu pertukaran pemimpin negeri itu mula hangat beberapa bulan selepas kemenangan besar BN pada PRN pada 20 November 2021.

Pada 27 Mac lalu, Ahmad Zahid mengesahkan struktur pentadbiran kerajaan Melaka akan berubah susulan pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat negeri itu tidak lama lagi.

Dia dilaporkan berkata, meskipun Melaka sudah melalui proses PRN lebih awal, negeri itu masih belum lagi membentuk kerajaan perpaduan seperti dilaksanakan di peringkat Persekutuan.