Zaman Anwar sudah berlalu, buka ruang kepada pemimpin baharu

Zaman Anwar sudah berlalu, buka ruang kepada pemimpin baharu

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah diberikan banyak peluang, namun sehingga kini beliau tidak dapat membuktikan mempunyai majoriti yang mencukupi.

Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga merupakan penganalisis politik, Profesor Dr Jayum Jawan berkata, ini membuktikan bahawa zaman pemimpin berkenaan sudah berlalu.

Beliau berkata, selain Anwar, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li juga melewati fasa sama dan adalah wajar mereka membuka ruang kepada pemimpin generasi baharu.

“Zaman Anwar sudah berlalu. Beliau sudah banyak kali diberikan peluang untuk menjadi Perdana Menteri. Dr Mahathir juga sama sudah dua kali jadi Perdana Menteri, tidak ke mana pun.

“Zaman Ku Li pun sudah berlalu, zaman mereka sudah berlalu. Bagi saya, ramai lagi pemimpin Melayu hebat dan belum diketengahkan untuk memimpin negara,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kredibiliti dan masa depan ketua pembangkang itu kerana gagal menolak Belanjawan 2021 walaupun dilaporkan turut mendapat sokongan Dr Mahathir dan Ku Li.

Jayum berkata, Anwar perlu melupakan hasratnya untuk menjadi Perdana Menteri selagi beliau tidak mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

“Selagi sokongan itu tidak dapat dibuktikan menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan, maka kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus kekal sebagai kerajaan,” katanya.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/114990/BERITA/Nasional/Zaman-Anwar-Tun-M-dan-Ku-Li-sudah-berlalu