Zamsaham lunas tunggakan gaji guna konsep ‘siapa cepat dia dapat’ – Khairul Helmi

Zamsaham lunas tunggakan gaji guna konsep ‘siapa cepat dia dapat’ – Khairul Helmi

 

PEMAIN Kelantan FC, Khairul Helmi Johari mendedahkan tidak semua pemain memperoleh RM1,000 daripada pemilik pasukan, Norizam Tukiman sebagai wang pendahuluan bagi melunaskan tunggakan gaji tiga bulan secara beransur-ansur.

Berkongsi perkembangan itu menerusi akaun Facebooknya, bekas pertahanan Kedah itu mendakwa hanya 20 pemain menerima wang terbabit dan lebih menyedihkan, ia diagihkan dengan konsep ‘siapa cepat dia dapat.’

“Tu pun 20 org je dapat… sapa cepat pulak tu… kena bersyukur pulak tu… saya tak dapat pun,” kata Khairul Helmi.

Dia berkata demikian menerusi satu hantaran yang turut menampilkan berita mengenai Norizam atau Zamsaham itu memberikan RM1,000 kepada pemain sebelum Aidilfitri.

Terdahulu, BH Sukan melaporkan Norizam tetap berusaha menyelesaikan tunggakan gaji tiga bulan dihadapi pasukan itu apabila mengambil pendekatan melangsaikan ‘hutang’ itu secara beransur-ansur.

Menerusi satu penjelasan di laman TikToknya semalam, Norizam mengesahkan gaji pemain sudah dibayar beransur-ansur dan dia optimis isu terbabit akan dapat diselesaikan.

“Bagi isu tunggakan gaji, hari ini dapatlah saya masukkan RM1,000 sebagai pendahuluan untuk bayar baki tiga bulan tunggakan sebab esok nak raya,” katanya yang memaklumkan video itu dirakam sehari sebelum hari raya.

Sebagai rekod, Kelantan FC ‘ditendang keluar’ dari Liga Super – susulan kegagalan mendapat lesen kebangsaan – akan terus berentap dalam saingan Liga M3 bagi musim 2024/25.

Usaha BH Sukan mendapatkan komen Norizam mengenai dakwaan Khairul Helmi gagal apabila pemilik Kelantan FC itu tidak menjawab panggilan dan mesej WhatsApp.