Zeti memilih untuk tidak menyambung kontrak bersama PNB

Zeti memilih untuk tidak menyambung kontrak bersama PNB

Bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Zeti Akhtar Aziz, berundur daripada jawatan pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) minggu ini kerana kontrak tiga tahunnya akan tamat.

Sumber memberitahu FMT, beliau akan berkhidmat sehingga Jumaat ini. Kontraknya tamat 30 April ini.

Difahamkan, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sudah dimaklumkan mengenai keputusan beliau tidak akan memperbaharui kontraknya.

“Beliau menghantar e-mel kepada kakitangan memberitahu mereka mengenai pengundurannya,” kata sumber kepada FMT.

Zeti, gabenor wanita pertama BNM, dilantik sebagai pengerusi PNB pada Jun 2018, menggantikan Abdul Wahid Omar.

PNB ialah anak syarikat pelaburan Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB).

Februari lalu, media melaporkan polis Singapura memaklumkan BNM berhubung transaksi mencurigakan dalam akaun Iron Rhapsody Ltd, milik suami Zeti, Tawfiq Ayman, dan salah seorang anaknya, yang tidak dinamakan.

Dana itu dikatakan datang daripada akaun dikaitkan kepada ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho, yang juga dikenali sebagai Jho Low.

Jabatan Hal Ehwal Komersial polis Singapura berkongsi maklumat itu dengan BNM pada 2015 dan 2016, ketika Zeti menjadi gabenor. – FMT