Zuraida akui kerajaan PN tiada majoriti

Zuraida akui kerajaan PN tiada majoriti

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Zuraida Kamaruddin menyifatkan dakwaan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berhubung ugutan dan tawaran yang diterima ahli parlimen PKR untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) sebagai tindakan “terdesak”

Malah, menteri perumahan dan kerajaan tempatan mendakwa, Anwar seakan menafikan alasan sebenar di sebalik tindakan ahli parlimen PKR yang berpaling tadah dan kini menyokong pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Saya ingat dakwaan itu seorang yang desperate (terdesak).

“Dan (Anwar) yang sudah hilang hala tuju kerana tidak dapat terima kenyataan bahawa ahli parlimen yang lompat dan sokong PN sudah menyedari kelemahan-kelemahan yang dipamerkannya apabila beliau kata ada jumlah (majoriti) tetapi tidak benar,” kata Zuraida yang merupakan bekas ketua sayap Wanita PKR.

Dia mengulas demikian susulan kenyataan Anwar pada Selasa lalu, yang berkata sekurang-kurangnya empat wakil rakyat partinya, selain Anggota Parlimen Sekijang Natrah Ismail mendedahkan bahawa mereka menerima tawaran untuk melompat parti.

Susulan hal tersebut, Anwar berkata dia akan mengaturkan pertemuan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) SPRM Azam Baki berhubung dakwaan terbabit.

Sementara itu, Zuraida menambah, kejayaan PN untuk menangani wabak Covid-19 menjadi antara sebab beberapa ahli parlimen berpaling tadah.

“Kepercayaan mereka telah luntur, itu yang buatkan mereka ubah hala tuju sokong PN berdasarkan prestasi PN dalam menangani masalah Covid-19 dengan berjayanya.

“Jadi Anwar Ibrahim janganlah terdesak tuduh itu ini,” kata Zuraida di sidang media selepas mengetuai lawatan Majlis Perbandaran Sepang di Pangsapuri Kenanga, Putra Perdana Puchong hari ini.

Pada 13 Mac lalu, Anggota Parlimen Kuala Langat Dr A Xavier Jayakumar mengumumkan keluar PKR untuk menjadi penyokong PN.

Ia berlaku selepas dua ahli parlimen lain dari PKR – Larry Sng (Julau) dan Steven Choong (Tebrau) – mengambil langkah sama sebelum itu.