Akhirnya pengakuan Nazri bantu pulihkan kembali imej Anwar
Ahli politik veteran Umno Nazri Aziz mengesahkan dia pernah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.
Mengulas kewajaran tindakan tersebut, ahli parlimen Padang Rengas itu menjelaskan, dia bersetuju untuk menyelamatkan Umno daripada dibubarkan kerajaan.
Memetik laporan Malaysiakini, Nazri mendakwa semasa Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri Pakatan Harapan (PH), ahli parlimen Langkawi itu memang bertekad untuk membubarkan Umno.
Justeru katanya dia perlu mencari jalan untuk menyelamatkan parti tersebut.
“Peluang saya ketika itu adalah Anwar yang sepatutnya diserahkan kuasa oleh Mahathir untuk menjadi perdana menteri selepas dua tahun. Jadi, saya pergi jumpa Anwar untuk meminta agar kerajaan tidak membubarkan Umno.
“Saya gembira apabila dia berkata: ‘Umno itu parti Pak Ibrahim (bapa Anwar), maka aku tak akan bubar.’
“Justeru apabila Umno nak menarik balik sokongan daripada Muhyiddin (Yassin), saya segera berbincang dengan ahli parlimen Umno yang lain untuk menandatangani SD menyokong Anwar,” katanya kepada Malaysiakini.
Muhyiddin sama macam Mahathir
Terdahulu Nazri diminta menjelaskan penularan surat SD Nazri yang menurunkan tandatangannya pada SD sebagai perakuan menyokong Anwar menjadi perdana menteri.
Ia berlaku ketika Umno mengarahkan semua ahli parlimennya membatalkan sokongan mereka kepada Muhyiddin yang juga presiden Bersatu.
Untuk rekod pada 23 Sept 2020 Anwar mengadakan sidang media tergempar dan mendakwa sudah mempunyai jumlah sokongan “kukuh dan meyakinkan” untuk menjadi perdana menteri baru menggantikan Muhyiddin.
Dia kemudian diperkenan mengadap Agong pada 13 Oktober, dan mempersembahkan dokumen yang didakwa mengandungi butiran sokongan majoriti anggota parlimen yang diperlukan.
Bagaimanapun Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Anwar tidak mempersembahkan senarai nama anggota parlimen yang didakwa menyokongnya.
Terdahulu, Malaysiakini menerima tiga surat akuan menunjukkan tiga pemimpin Umno menyokong Anwar sebagai PM.
Selain Nazri dua pemimpin lain adalah Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dan bekas perdana menteri Najib Razak.
Surat akuan ditandatangani pada 20 Nov 2020 di “Kompleks Emporium Makan” di Petaling Jaya turut mendapati ketiga-tiga mereka menarik balik sokongan kepada Muhyiddin.
Nazri berkata keputusan untuk menarik balik sokongan daripada Muhyiddin diambil setelah ahli parlimen Pagoh itu mengambil langkah yang sama seperti Mahathir iaitu mahu untuk membubarkan Umno.
“Selepas kami mendapati Muhyiddin sama seperti Mahathir, kami mengambil keputusan menarik balik sokongan.
“Selain, saya, Najib dan Tajuddin, Ahmad Zahid Hamidi dan Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) menandatangani SD sokong Anwar serta tarik balik sokongan kepada Muhyiddin,” katanya.
Ditanya sikap ahli parlimen lain yang tidak mengambil langkah sama, Nazri berkata: “Yang lain semua penakut. Fikir pasal kedudukan, jawatan dan kepentingan sendiri. Saya pula fikir pasal kepentingan dan setia kepada parti. Saya nak selamatkan parti saya. Sebab itu saya sokong Anwar. Setia kepada parti. Itu yang paling penting bagi saya.”