Anak restu Afdlin Shauki nikahi rakan sendiri

Anak restu Afdlin Shauki nikahi rakan sendiri

 

Mia Sara Shauki, 25, terima dengan hati terbuka keputusan bapa, iaitu pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki, 53, kembali mendirikan rumah tangga.

Mia Sara berkata, sebagai anak, dia menyokong apa sahaja yang dilakukan ibu bapa dalam mencari kegembiraan atau kebahagiaan dalam hidup.

Justeru, pelakon filem Geng Kubur itu mengaku tidak mempunyai masalah dengan keputusan Afdlin mengahwini Marcella, 28, biarpun jarak usia mereka 25 tahun. Malah, Marcella adalah tiga tahun lebih tua berbanding dirinya.

“Saya rasa okay sahaja sebab sudah rapat dengannya.

“Saya terima apa-apa perkara yang ibu bapa hendak buat untuk gembira. Saya ini siapa untuk cuba halang sesuatu.

“Iya, saya anak ayah. Tetapi saya tidak mahu ibu bapa tidak gembira,” katanya ditemui pada sesi tayangan perdana dan sidang media filem baharu lakonannya, Geng Kubur di GSC Starling Mall di sini, semalam.

Mia Sara berkata, dia tidak menghalang setiap perkara yang boleh mendatangkan kegembiraan kepada ibu bapanya.

“Jika ayah saya gembira dengan kawan saya (isteri baharu), bagus untuk mereka. Saya tidak mahu halang semua ini. Saya fikir sama juga untuk ibu bapa saya.

“Kalau mereka ada tanggapan saya bergembira untuk mereka, maka, saya pasti mereka juga tahu saya ada tanggapan supaya mereka gembira untuk saya… Situasi menang-menang,” katanya.

Mengulas sambutan Aidilfitri mereka sekeluarga, Mia Sara yang memulakan kerjaya lakonan melalui filem Buli pada 2004 berkongsi, segala-galanya baik sahaja dan mereka gembira.

“Raya tahun ini sangat seronok. Tiada apa-apa hendak dirisaukan. Kita semua selesa dalam sebuah rumah dan suasana meriah,” katanya.

Afdlin pernah mendirikan rumah tangga dengan Maria Christina Orow pada 1997, namun, bercerai pada April 2022. Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mia Sara, Anais dan Ileana Matin.

Mia Sara membintangi filem Geng Kubur iaitu naskhah komedi seram arahan Gavin Yap. Selain Mia Sara, pelakon muda lain seperti Firdaus Sufiyan, Lion Chong dan Sasidaran bertindak sebagai teraju utama.

Filem terbitan Iron Hill Media Sdn Bhd yang berkisar empat sekawan menjadikan tanah perkuburan sebagai lokasi melepak, menemui penonton di pawagam di seluruh negara, mulai Khamis depan.