Apandi Ali berdepan dakwaan salahguna kuasa dlm kes 1MDB

Apandi Ali berdepan dakwaan salahguna kuasa dlm kes 1MDB

Charles Santiago dari DAP meminta polis menyiasat Apandi Ali atas dakwaan menyalahgunakan kuasanya sebagai bekas peguam negara untuk menutup siasatan pihak berkuasa terhadap 1MDB.

Ahli Parlimen Klang itu berkata, ini terbukti dengan penolakan Mahkamah Tinggi terhadap saman fitnah yang difailkan Apandi terhadap veteran DAP, Lim Kit Siang.

Apandi menyaman Lim yang mendakwa beliau menyalahgunakan kuasanya untuk menutup siasatan ke atas 1MDB dan wang yang dipindahkan ke akaun bekas perdana menteri, Najib Razak.

Najib mempertahankan wang yang dipindahkan ke akaunnya adalah sumbangan politik daripada keluarga diraja Arab Saudi.

“Dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi, Azimah Omar menyatakan delegasi Apandi tidak berjumpa mahupun bercakap dengan pihak didakwa penderma, walaupun berkata sebaliknya pada sidang media 26 Jan 2016,” kata Santiago selepas membuat laporan di Balai Polis Klang Selatan.

“Dia kemudiannya membersihkan nama Najib daripada sebarang salah laku, mengesahkan RM42 juta dalam akaun Najib adalah derma daripada seorang putera Saudi.”

Beliau berkata, ini membuktikan dakwaan Apandi pada 2016 adalah “pembohongan secara terang-terangan”.

Beliau juga menekankan petikan daripada penghakiman Azimah bahawa Apandi “sangat jelas bersikap acuh tak acuh, mengelak dan menipu dalam mengejar kebenaran di sebalik derma luar biasa itu”.

“Oleh itu, saya berpendirian Apandi mereka-reka maklumat dan berbohong semasa memegang jawatan, yang membawa kepada penyalahgunaan kuasanya sebagai penasihat undang-undang utama negara.

“Saya membuat laporan polis supaya siasatan boleh dimulakan terhadap Apandi dalam perkara ini.”

Najib sebelum ini disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes SRC International dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Ahli Parlimen Pekan itu sedang menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan.