Belasah ayah tiri gara-gara tidak diberi duit beli dadah

Belasah ayah tiri gara-gara tidak diberi duit beli dadah

Gara-gara berang tidak diberi wang untuk membeli dadah, seorang lelaki bertindak agresif membelasah bapa tirinya di Yan, Perlis hari ini.

Lelaki berusia 30 tahun itu mengamuk sebelum menendang mangsa seorang warga emas berusia 71 tahun.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, pihaknya telah menahan suspek selepas menerima laporan daripada mangsa yang tinggal di Kampung Ruat sekitar pukul 10.45 pagi tadi.

“Berdasarkan laporan, suspek dipercayai mengamuk selepas tidak diberikan wang untuk membeli bekalan dadah dan menendang bapa tirinya sebanyak dua kali pada bahagian dada serta muka.

“Suspek juga difahamkan telah menumbuk bahagian belakang kepala sebelah kiri menyebabkan telinga kiri mangsa mengalami kesakitan di rumahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini yang dilaporkan portal MalaysiaGazette.

Tambah Shahnaz, mangsa kemudiannya telah keluar dari rumah berkenaan dan duduk di luar rumah bersama isterinya.

Bagaimanapun, suspek sekali bertindak kasar dengan menendang bahagian belakang badan mangsa.

“Mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Yan dan disahkan mengalami bengkak di bahagian telinga kiri akibat ditumbuk oleh suspek.

“Hasil siasatan lanjut polis juga mendapati ibunya mengesahkan bahawa suspek merupakan seorang pesakit mental serta memiliki kad Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Polis berjaya menahan suspek selepas kejadian itu sekitar pukul 6.45 petang di kawasan Lubok Boi,” katanya.

Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK)/18A Akta Keganasan Rumahtangga 2012.