Berang dipecat, Hasnul minta surat bukti

Berang dipecat, Hasnul minta surat bukti

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim kini menjadi wakil rakyat bebas apabila disahkan sudah dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Disember lalu.

Perkara itu disahkan Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Zainol Fadzi, perkara itu sudah jelas berdasarkan kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam laporan media sebelum ini.

Pemecatan itu difahamkan berpunca daripada tindakannya yang menyokong Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak.

Sementara itu, Hasnul Zulkarnain ketika dihubungi pemberita memaklumkan bahawa beliau tidak menerima sebarang surat mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, keputusan itu hanya diketahui melalui media tanpa pemakluman rasmi.

Pada 13 Disember lalu, Hasnul Zulkarnain mengaku memberi sokongan kepada Saarani sebagai Menteri Besar Perak lebih awal berbanding ADUN Bersatu yang lain ketika Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu disingkir menerusi undi percaya di Dewan Undangan (DUN) Perak.

Keputusan itu bagaimanapun sudah dijangka apabila Zainol Fadzi dalam kenyataan pada 14 Disember lalu memaklumkan bahawa tindakan membelakangi keputusan parti membawa maksud keluar parti.

Namun, beliau berkata, Bersatu Perak menyerahkan keputusan mengenai tindakan itu kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu menentukan nasib bekas pemimpin Amanah tersebut.

Dalam pada itu, mengenai desas-desus Hasnul Zulkarnain akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menafikan perkara tersebut. – SH