Bertanding guna logo PN, Pas resah menanti pembalasan UMNO

Bertanding guna logo PN, Pas resah menanti pembalasan UMNO

Keputusan Pas menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini bukan sebagai mahu berlawan dengan UMNO yang berada dalam Barisan Nasional (BN), kata Naib Presiden Pas, Idris Ahmad.

Menurut beliau, sebaliknya keputusan itu dibuat atas semangat perpaduan ummah yang membabitkan tiga parti Melayu-Islam iaitu Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), seperti dilaporkan portal akhbar Astro Awani.

Katanya, walaupun bertanding dengan menggunakan logo PN namun matlamat Pas dalam PRN Melaka masih sama iaitu menentang Pakatan Harapan (PH).

“Setakat hari ini keputusan kita gunakan tu bukan (untuk) berlawanan dengan UMNO, kita masih lagi dalam konteks peraduan ummah, antara Pas, UMNO dan Bersatu.

“Kita masih lagi dalam konteks untuk kita menghadapi satu musuh kita iaitu PH, jangan (mereka) berkuasa di Melaka,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program bantuan Musaadah Banjir Dewan Undangan Negeri (DUN) Trong, di Taiping pada Khamis.

Selasa lalu, Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan media memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas meluluskan penggunaan lambang PN dalam PRN Melaka.

Ketetapan itu, kata Abdul Hadi, mengambil kira panduan yang diberikan Majlis Syura Ulama (MSU) Pas yang bersidang 31 Oktober lalu dan selaras dengan Peruntukan Fasal 84 Perlembagaan Pas.