Budiman!!! Ahli perniagaan nyata kesediaan bayar denda isteri anggota polis SJR
Seorang ahli perniagaan menyatakan hasrat untuk membayar kompaun RM2,000 yang dikenakan terhadap seorang isteri selepas menziarah suaminya yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di Putrajaya pada Hari Raya pertama.
Ahli perniagaan, Datuk Sunny Ung berkata, dia menganggap kehadiran wanita bersama anak-anak ke lokasi suaminya bertugas itu adalah satu pengorbanan.
“Saya kasihan dan terkilan dengan nasib yang menimpa keluarga berkenaan. Saya akui walaupun sedih, ia tetap menjadi kesalahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).
“Namun, untuk kes berkenaan, budi bicara juga perlu kerana isteri dan anaknya membawa juadah raya dan ingin beraya dengan seorang ayah.
“Wanita itu juga menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan menghantar juadah raya kepada suami yang terpaksa bertugas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, beliau akan berhubung dengan keluarga berkenaan untuk urusan pembayaran kompaun itu.
Media sebelum ini melaporkan, isteri anggota polis yang menziarahi suaminya yang sedang bertugas di SJR di Putrajaya pada Hari Raya pertama dikenakan kompaun RM2,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komosioner Mohd Fadzil Ali berkata, kompaun itu dikeluarkan kelmarin di bawah Peraturan 21 (PU A 225/20212) Ziarah Hari Raya Raya Aidilfitri (No 21 Kesalahan-kesalahan yang diperuntukkan dalam SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana pelanggaran SOP PKP dengan menziarah suami di SJR.
Pada awalnya, perbuatan itu dilihat sebagai satu tanggungjawab isteri untuk memberi sokongan moral kepada suami yang sedang bertugas dengan menghantar juadah di pagi raya.
“Namun, kepentingan awam adalah melebihi kepentingan individu, kita tidak mahu perbuatan sedemikian dijadikan alasan oleh semua ahli keluarga petugas untuk melawat keluarga yang bertugas di lapangan pada Hari Raya atau pun hari biasa,” katanya menerusi kenyataan semalam. – HM