Dakwa AG semakin melampau, PH desak Idrus punya maruah untuk berundur

Dakwa AG semakin melampau, PH desak Idrus punya maruah untuk berundur

Pakatan Harapan (PH) mengulangi pendirian mendesak Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun meletak jawatan kerana didakwa derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong, mengkhianati Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.

Presiden Majlis Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenyataan Idrus Harun yang memutuskan tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri adalah biadap.

“Ini merupakan kali kedua peguam negara telah derhaka terhadap Seri Paduka yang sesungguhnya amat mengecewakan dan beliau tidak layak memegang jawatan Peguam Negara.

“Malah, kenyataan peguam negara bagi pihak kerajaan ini melanggar semangat Perlembagaan, melanggar titah Seri Paduka,” katanya dalam kenyataan bersama Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini.

Semalam, Jabatan Peguam Negara dilaporkan memutuskan tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kerana proses pemilihan yang telah dijalankan oleh Seri Paduka dengan teliti dan telus.

Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz sebelum ini turut berpendapat, usul undi percaya tidak perlu diadakan kerana kuasa perkenan Seri Paduka adalah amat berwibawa dan tidak perlu disahkan atau boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak, termasuk Parlimen.

Bagaimanapun, 18 Ogos lalu, Seri Paduka selepas bertemu semua parti politik kerajaan dan pembangkang menitahkan bahawa perdana menteri yang baharu dilantik perlu melaksanakan undi percaya di Parlimen dengan segera bagi mengesahkan keabsahannya mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Sidang Dewan Rakyat yang dijadual bermula 6 September hingga 30 September ditangguh ke tarikh 13 September sehingga 12 Oktober selama 17 hari sekaligus menjadi perhatian apabila dijangka usul undi percaya terhadap Ismail Sabri akan diadakan.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa peguam negara telah hadir, menjadi saksi dan mendengar sendiri titah Seri Paduka sewaktu sesi menghadap berkenaan.

“Di manakah logik dan kewarasan peguam negara apabila berkata kuasa Seri Paduka melantik Perdana Menteri boleh ditidakkan dengan satu usul undi percaya di Parlimen apabila pembentangan usul undi percaya itu dititah sendiri oleh Seri Paduka?” soalnya.

Sumber – Utusan Malaysia