Dilarang ke klinik kerana PKPD, ibu keguguran anak dalam kandungan

Dilarang ke klinik kerana PKPD, ibu keguguran anak dalam kandungan

Seorang ibu berusia 29 tahun mendakwa beliau kehilangan bayinya yang belum dilahirkan setelah polis menghalangnya meninggalkan rumah untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Putri Adzimah Ahmad dari Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur mendakwa, janji temunya dengan doktor dijadualkan pada 6 Julai dan dia memaklumkan kepada polis bahawa dia telah mengalami pendarahan.

Setelah mengalami pendarahan selama tiga hari, Putri yang hamil sembilan minggu akhirnya dibenarkan pergi ke klinik biasa tetapi ketika itu katanya, bayinya telah meninggal dunia.

“(Kejadian) ini berlaku pada 9 Julai, pada hari jadi saya, bayi saya mati dalam kandungan,” katanya.

Putri yang mengalami trauma akibat pengalaman mendukacitakan itu berkata, ia tidak sepatutnya terjadi.

“Saya sangat sedih. Saya mahu masyarakat tahu tentang kejadian ini untuk mewujudkan kesedaran supaya tiada siapa dihalang untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya kepada FMT.

“Saya harap tiada ibu lain yang kehilangan anak disebabkan PKPD (perintah kawalan pergerakan diperketat),” katanya.

Suaminya, Fitrie Abdul Majeed, 32, memberitahu FMT mereka telah membuat laporan polis di Sentul.

Katanya, isterinya dijadualkan menjalani pemeriksaan pada 6 Julai selepas imbasan pada 26 Jun mendapati Putri mengalami pendarahan.

Doktor menganggapnya sebagai kes berisiko tinggi kerana sebelum ini Putri pernah mengalami keguguran, tambahnya.

Pada 3 Julai, sekatan penuh di bawah PKPD dikuatkuasakan di kawasan perumahan mereka di Bandar Baru Sentul.

Keesokan harinya, beliau pergi bertanya kepada polis Sentul dan dimaklumkan isterinya akan dibenarkan meninggalkan kawasan itu atas alasan perubatan.

Bagaimanapun, pada hari janji temu pada 6 Julai, polis melarang mereka keluar kerana terdapat SOP baharu dan menyuruhnya menghubungi pasukan perubatan bergerak.

Apabila pasukan berkenaan tiba tiga jam kemudian pada 3.30 petang, mereka memeriksa tekanan darah isterinya. Seorang doktor bertanya kepada pasangan itu sama ada ingin dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur, tetapi kemudian memberitahu pasangan itu supaya menunggu sementara kes dirujuk kepada pakar sakit puan.

“Pada 4.30 petang, kami diberitahu bahawa kes isteri saya adalah normal. Dia diberitahu untuk terus makan ubat dan menghubungi 999 jika pendarahan menjadi serius,” katanya, sambil menambah, doktor tersebut memberi beberapa tablet dan mengeluarkan sijil cuti sakit.

Pada 9 Julai, Fitrie sekali lagi pergi berjumpa polis pada 2 petang untuk memaklumkan tentang keadaan isterinya. Kali ini, polis membenarkan beliau membawa isterinya ke klinik tetapi apabila tiba, mereka diberitahu bahawa degupan jantung anak dalam kandungan tidak dapat dikesan.

Polis Sentul dalam kenyataan mengesahkan menerima aduan mengenai perkara itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai, berkata, siasatan mendapati suami wanita berkenaan dinasihatkan untuk merujuk perkara itu kepada pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertugas di kawasan PKPD itu.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan tindakan sewajarnya akan diambil.

Sumber – FMT