“Dulu suami janji nak layan macam puteri kalau mengandung anak pertama, tapi sekarang dia tak dapat terima pula perubahan ibu hamil”

“Dulu suami janji nak layan macam puteri kalau mengandung anak pertama, tapi sekarang dia tak dapat terima pula perubahan ibu hamil”

 

Seorang wanita langsung tidak menyangka, perkahwinan dengan suami yang selama ini bahagia akan diuji selepas disahkan mengandung anak pertama.

Tidak hanya mengalami alahan teruk, wanita berkenaan juga merasa sangat tertekan dengan rungutan suami yang seakan tidak dapat menerima perubahan ibu hamil.

Khuatir jika tidak dapat menjernihkan keadaan, berikut perkongsian wanita yang hilang arah dalam mencari jalan penyelesaian untuk menyelamatkan perkahwinannya.

“Harap penulisan ini tersiarlah sebab aku perlukan pendapat dan nasihat yang baik-baik daripada pembaca. Sedikit pengenalan, aku berumur 32 tahun. Telah berkahwin selama 2 tahun. Suami pula berusia 34 tahun. Kami mendirikan rumah tangga sedikit lewat kerana masing-masing orang yang bekerjaya.

“Sepanjang berkahwin, suami aku seorang yang sangat baik dan penyayang. Susah senang kami bersama. Sebelum suami naik pangkat, aku banyak membantu dari segi kewangan. Sebab gaji aku lebih besar daripada dia. Aku ikhlas seikhlasnya. Selepas suami naik pangkat, pendapatan dia meningkat tiga kali ganda.

“Jadi suami mula mengambil alih kewangan rumah 100 peratus. Malah, rumah yang aku beli dengan nama sendiri dekat kampung pun dia yang bayar. Tidak pernah kedekut dan sangat penyayang. Hidup kami bahagia berdua. Kami sangatlah menginginkan zuriat. Alhamdulillah, selepas dua tahun berkahwin akhirnya aku disahkan hamil.

“Namun, rumah tangga manalah yang tak ditimpa ujian. Kami mula diuji selepas aku mengandung. Aku mengalami alahan yang sangat teruk dan terpaksa berhenti kerja. Semuanya berubah 360 darjah. Sebelum hamil, aku menjaga rapi rumah kami. Celah mana yang aku tak lap dan berus. Sebabnya aku tertekan dalam keadaan bersepah.

“Tetapi aku sekarang sudah tak larat sangat nak kemas. Entahlah, aku rasa macam hilang semangat. Duduk rumah berulang buat perkara yang sama setiap hari. Kalau dahulu, aku masak rasa macam restoran lima bintang. Suami selalu puji. Sekarang ini bau apa pun tak boleh. Sebab mabuk hamil, asyik muntah sahaja.

“Aku masak pun akhirnya ke tong sampah sebab suami tak lalu nak makan. Sentiasa tak kena. Hanguslah, tak masaklah atau rasa pelik dan lain-lain. Mungkin sebab aku masak dalam keadaan terpaksa dan tak boleh nak rasa hidangan itu. Aku masak ini pun hanya untuk suami. Suami aku seorang yang bekerja keras.

“Sampai sekarang, suami masih berikan 100 peratus usaha di dalam rumah tangga kami seperti dahulu. Mungkin usaha aku yang sudah berkurang. Jadi aku rasa suami sudah tak dapat tahan sabar. Balik kerja letih, tetapi rumah sudah tak serapi dahulu. Tiada lagi makanan terhidang untuk dia. Aku sangat tertekan.

“Kandungan aku sekarang masuk sembilan minggu. Semakin tertekan sebab asyik dengar suami merungut. Aku sentiasa cuba memasak tetapi rasa tak bersemangat macam dahulu. Masakan jadi tak sedaplah. Suami pun tak nak makan, aku nak buat macam mana lagi. Banyak membazir, tak terhitung daging dan ayam yang terbuang.

“Suami asyik merungut yang dia tak makan sekarang. Makanan di luar pula memang dia jarang beli. Aku sudah cuba memasak. Tetapi dua ke tiga hari sahajalah mampu buat walaupun aku sendiri pun tak boleh makan. Aku tak ingat bila kali terakhir jamah ayam atau daging. Fahamlah suami penat, tetapi aku nak buat macam mana.

“Aku rasa mental penat sangat. Dengan suami asyik merungut, terus kosong motivasi dan tenaga aku. Tak biasalah duduk rumah dengan rasa yang tak selesa, pening dan loya setiap masa. Waktu taip ini pun kami baru sahaja bergaduh di atas alasan yang sama. Selalu kalau aku nak masak, suami cakap tak payah takut membazir.

“Tetapi hari ini suami ungkit aku tak masak. Dia cakap aku duduk rumah hanya tidur. Sedangkan, dia bekerja macam orang gila. Aku terasa sangat-sangat. Dia cakap aku berubah. Aku berdiri depan cermin pandang pantulan, memanglah berubah dari segi fizikal, emosi dan mental. Dahulu aku hanyalah aku. Sekarang ini aku bakal jadi ibu.

“Macam mana aku tak berubah dengan keadaan mengandung ini. Aku penat dengan pergaduhan kami yang sentiasa berulang. Hari ini sangat tegang, seolah perceraian sahaja yang menanti kami di masa hadapan. Rupanya pengalaman mengandung tak seperti yang aku sangkakan. Suami cakap nak layan macam puteri kalau aku hamil.

“Tetapi hakikatnya hanya mudah madah berbicara. Aku menangis pun menjadi satu kesalahan. Kata suami, dia juga ada perasaan tetapi tak menangis pun. Aku tak tahu bagaimana nak jernihkan semula. Perkahwinan kami ibarat telur di hujung tanduk. Harap pembaca sudi tinggalkan nasihat dan komen yang membina.” Pintanya.