Fyna Jebat kahwin suami orang? Ini respon Zainal Abidin Hassan
Bekas jurulatih bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan enggan memberikan kerjasama bagi mengulas berita perkahwinannya dengan penyanyi Fyna Jebat.
Kepada Kosmo!, Zainal Abidin juga menamatkan perbualan bersama media ketika diminta mengulas mengenai status dirinya yang bukan duda.
“Maaf saya tengah meeting (dalam mesyuarat),” katanya kepada Kosmo! dan terus meletakkan telefon.
Zainal Abidin kemudiannya gagal dihubungi semula dan tidak menjawab pesanan WhatsApp.
Terdahulu, tular dalam TikTok pengguna Twitter mendedahkan bekas pemain bola sepak yang terkenal pada era 1980-an dan 90-an itu berkahwin dengan Fyna dan bukanlah berstatus duda.
“Bila pula Zainal tu duda,” demikian coretan dalam sebuah video dimuat naik dalam platform media sosial tersebut seraya memaparkan untaian foto Zainal bersama isteri pertamanya.
Sehubungan itu, ramai yang berasa hairan mengapa Fyna tidak dikecam seperti Ira Kazar yang berkahwin dengan suami Puteri Sarah iaitu Syamsul Yusof sedangkan dirinya berkahwin dengan lelaki yang statusnya masih berstatus suami orang.
Fyna atau nama sebenarnya, Nur Syafinaz Jebat, 30, pada Ahad mengesahkan dirinya sudah berkahwin dengan Zainal.
Sungguhpun begitu, Fyna yang juga adik kepada pelakon Ayda Jebat itu enggan memperincikan butiran lanjut, termasuk tarikh perkahwinan mereka.