Gara-gara lantang bersuara isu Pale.stin, Uyaina hilang akaun TikTok

Gara-gara lantang bersuara isu Pale.stin, Uyaina hilang akaun TikTok

 

Akaun TikTok pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad, dipadamkan secara kekal kerana kelantangannya menyuarakan isu Palestin.

Berita itu dikongsikan Uyaina, atau Saidatul Naseha Uyaina Arshad menerusi platform X yang kecewa kerana akaun TikTok seramai 600,000 orang pengikut itu sudah tiada.

“Akaun TikTok saya sudah dipadamkan secara kekal.

“Ada video tentang nakbah juga yang saya nak post,” ciapnya.

Akaun tersebut difahamkan disekat dan dipadam oleh pihak TikTok selepas Uyaina memuat naik sebuah video bertajuk A Letter to America, semalam.

Dalam video berkenaan Uyaina bercerita mengenai kandungan surat milik pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden yang menyifatkan peranan Amerika sebagai hipokrit kerana membenarkan Israel menduduki Palestin.

Enggan patah semangat, Uyaina kemudian membuat akaun TikTok baharunya hari ini menerusi nama @uyaina.arshad.

Setakat artikel ini ditulis, Uyaina sudah mempunyai lebih 700 pengikut dalam tempoh beberapa minit.

Ramai yang memuji kesungguhan Uyaina dalam memperjuangkan isu Palestin secara lantang di media sosial.