Imam Besar tempelak penipu agama, “Kopiah atas kepala tetapi menipu, orang nak buat baik tak bagi”

Imam Besar tempelak penipu agama, “Kopiah atas kepala tetapi menipu, orang nak buat baik tak bagi”

 

Imam Besar Masjid Sultan Ahmad 1 Kuantan, Ustaz Badli Shah Alaudin menyifatkan mereka yang menghalang ‘Menu Rahmah’ umpama penghalang kepada usaha untuk membantu pihak yang memerlukan.

Sambil memetik satu surah dalam Al Quran, Badli Shah memetik ayat Al Quran dalam surah Al- Maa-uun yang bermaksud,

“Ia tidak menganjurkan untuk memberi makan kepada orang miskin.”

Katanya, orang ini bukan tidak memberi orang miskin makan, dia memang tidak tolong orang susah, masalahnya dia halang pula orang lain untuk tolong orang susah.

“Awak tak nak tolong awak punya pasallah. Tetapi jangan halang orang yang hendak tolong,” kata beliau ketika memberikan kuliah di Masjid Sultan Ahmad Kuantan baru-baru ini.

Ustaz Badli Shah memberikan analogi, seorang ahli perniagaan makanan sedang berusaha menolong orang susah.

“Dia masak ayam paprik, potong ayam kecik-kecik, sayur sikit dan sop kosong, harganya RM5.

“Datang orang lain kata, tak payah, awak jangan layan, ini mengarut belaka ni. Ayam mahal.

“Dia halang pula usaha nak tolong orang, inilah maksud ayat Al Quran berkenaan.

“Kamu tahu tak penipu dalam agama. Orang yang nak buat baik, dia larang.

“Jadi kalau ada orang halang lagi, tuan-tuan baca ayat dari surah Al- Maa’uun (surah 107) ini.

“Awak tak bagi awak punya pasal tetapi jangan halang orang berbuat baik. Bukan mintak duit awak, baik awak duduk diam sahaja.

“Ini penipu agama. Kopiah atas kepala tetapi menipu. Orang nak buat baik tak bagi, bukannya minta duit awak,” kata beliau menjelaskan tentang ayat Al Quran tersebut.

Ustaz Badli Shah mengulas sesetengah pihak yang menghalang dan mempersendakan usaha untuk menyediakan Menu Rahmah sebagaimana yang sedang diusahakan oleh kerajaan sekarang.

Menu Rahmah ini, katanya, hanya makanan asas sahaja, ada nasi, ada proten iaitu ikan atau daging dan sayur.

Ayat surah Al-Maa-uun 107 bermaksud:

Ayat pertama:

Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)?.

Ayat ketiga:

Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.