Ingatkan bakal isteri anak dara, rupanya lelaki tua umur 53 tahun

Ingatkan bakal isteri anak dara, rupanya lelaki tua umur 53 tahun

 

KISAH pekerja di sebuah syarikat perlombongan yang terpikat dengan seorang gadis menjadi tular di media sosial.

Malah, dia nekad untuk berkahwin dengan gadis berkenaan.

Namun malangnya, bakal isterinya itu bukanlah perempuan sejati, sebaliknya adalah lelaki.

Bukan setakat identiti ditipunya, malah pelaku juga meminta hantaran bernilai 50 juta rupiah (RM15,280) daripada mangsa.

Lebih menyedihkan apabila wang yang sepatutnya dijadikan sebagai mas kahwin itu, digunakan untuk membeli barang keperluan harian dan bermain loteri.

Siapa sangka gadis yang bakal dikahwininya itu rupa-rupanya seorang lelaki tua berusia 53 tahun.

Suspek menyamar sebagai pelajar perempuan dan menipu melalui laman sosial Facebook.

Bagaimanapun, kegiatannya terbongkar dan ditahan polis di kediamannya di Tinggimoncong, Gowa di Sulawesi Selatan (Sulsel), Indonesia, pada Jumaat lalu.

Memetik laporan Kompas, Polis Sulsel bahagian jawatankuasa jenayah siber, AKP Iqbal Usman E berkata, suspek menggunakan gambar profil wanita bertudung dengan nama akaun Facebook seperti wanita, untuk menipu mangsa.

Suspek turut mengakui dirinya berusia lingkungan 20-an dan bersedia untuk berkahwin.

“Mangsa berusia 35 tahun, berasal dari Makassar.

“Suspek kini dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut,” kata Iqbal kepada pemberita pada Selasa.