Isu Sajat : Jangan sampai pihak gereja campur tangan

Isu Sajat : Jangan sampai pihak gereja campur tangan

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersedia menemui Nur Sajat untuk membimbingnya yang berhasrat keluar dari agama Islam.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya memberi perhatian kepada masalah itu dan yakin semua pihak memandang serius apa yang berlaku.

Katanya, Mapim bersimpati kepada semua pihak yang mahu menyelesaikan isu itu dan berharap dapat mengawal keadaan agar ia dikendalikan dengan sebaik mungkin dan dengan hikmah.

“Jalan keluar dengan menghormati tanggungjawab pihak berkuasa dan mengguna pendekatan kasih sayang dan mendidik secara penuh hikmah perlu dilakukan.

“Sesungguhnya, apa yang mahu dicapai ialah Sajat, dengan penuh keinsafan, kekal dalam Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Azmi berkata, pihaknya yakin Sajat melafazkan hasrat itu dalam keadaan tertekan dan emosi tidak terkawal serta bukan dari lubuk hati sebenar.

Katanya, Mapim sangat berharap agar masyarakat Islam tidak menambah rumit keadaan.

“Inilah saatnya seluruh masyarakat menterjemah rasa kasih sayang antara satu sama lain dan menyelamatkan saudara seagama agar kembali saling bantu-membantu demi kebaikan dan ketakwaan.

“Kefahaman Sajat mengenai tanggungjawab pihak berkuasa sangat perlu dijelaskan dan kami berharap ada komunikasi lancar berlaku untuk mengelakkan salah faham antara dua pihak.

“Sebagai badan Islam, kami berasa sangat bertanggungjawab untuk turut berperanan menangani isu seperti ini dengan hikmah dan mencari titik penyelesaian yang baik,” katanya.

Beliau mengulas tindakan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman yang memuatnaik status seolah-olah mahu keluar daripada Islam.

Ia dipercayai ada kaitan dengan waran tangkap yang dikeluarkan ke atasnya selepas gagal hadir dalam sebutan kes di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, 23 Februari lalu. – HM