“Jangan kira pandai cari salah je”, mesej keras ditujukan Ayah Rani Kulop terhadap pengkritik Anwar

“Jangan kira pandai cari salah je”, mesej keras ditujukan Ayah Rani Kulop terhadap pengkritik Anwar

Semua pihak sepatutnya memberi peluang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan keupayaannya untuk mentadbir negara dan bukannya terus mengkritik.

Aktivis masyarakat, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, sekarang bukan lagi masa untuk mencari salah sesiapa.

“Saya mengambil pendekatan untuk menyokong Perdana Menteri kerana ia telah diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong dan saya berharap masyarakat juga ambil pendekatan sama.

“Ia penting demi kemajuan dan kestabilan negara. Jangan lagi kita menabur fitnah sehingga menyebabkan kita saling benci-membenci antara satu sama lain,” katanya pada sidang akhbar di sebuah restoran di sini pada Ahad.

Menurutnya, beliau percaya Presiden PKR itu mampu melakukan perubahan sekali gus menjadikan negara lebih baik selepas ini.

Beliau yang merupakan bekas calon Bebas Parlimen Port Dickson PRU15 bagaimanapun mengingatkan kerajaan supaya sentiasa mengingati bagaimana kerajaan perpaduan hari ini dibentuk.

“Dengan izin Allah SWT, PH dan BN bersama membentuk kerajaan. Tapi saya nak ingatkan ‘jangan lupa apa-apa dan jangan ingat tiada apa-apa’.

“Walau baiknya hubungan yang mula terjalin, tetap akan ada gangguan. Tapi saya berharap kerajaan baharu dibentuk ini tidak diganggu dan stabil sehingga habis penggal,”ujarnya, seperti dilapor Sinar.