Jumpa lombong emas depan rumah, boleh ke tuan tanah sorok dari kerajaan? Ini jawapan paling logik

Jumpa lombong emas depan rumah, boleh ke tuan tanah sorok dari kerajaan? Ini jawapan paling logik

 

Pada 2021, Malaysia pernah digemparkan dengan penemuan emas di kampung Kuala Lipis sehingga penduduk kampung dilapor mendapat kekayaan secara mengejut.

Sebenarnya ramai yang masih belum tahu bahawa aktiviti galian atau melombong emas di tanah sendiri tidak boleh dilakukan secara ‘diam-diam’ biarpun pemilikan tanah atas nama kita sendiri.

Hal itu dikongsikan seorang peguam yang menerima soalan berbunyi begini; “sekiranya ada emas dalam tanah saya, boleh tak saya gali ambil emas itu tanpa pengetahuan sesiapa? Kawan saya kata, kalau diam-diam tak ada masalah”.

Kami kongsikan jawapan lengkap jawapan peguam dikenali sebagai Faridah Begum Abdul Rahman di laman kumpulan Peguam Kebajikan.

Dalam Kanun Tanah Negara dinyatakan secara jelas yang apa-apa mineral seperti emas, magnesium, perak dan lain-lain yang dijumpai di dalam tanah sama ada tanah persendirian atau tidak, adalah milik kerajaan negeri.

Sekiranya terjumpa sumber mineral tersebut, ia perlu dimaklumkan kepada kerajaan negeri.

Adalah menjadi satu kesalahan korek/gali tanah untuk mencari bahan mineral tersebut tanpa kebenaran negeri.

Sekiranya berminat nak korek sendiri emas/ mineral tersebut, dapatkan kebenaran bertulis dari pihak berkuasa negeri dan mohon untuk Lesen Melombong Tuan Punya.

Selepas memperolehi lesen daripada Pejabat tanah dan galian, pohon lesen operasi daripada Jabatan Mineral dan Galian (JMG).

Pemilik tanah itu juga perlu mengemukakan satu skim yang mana perlu mendapatkan perkhidmatan jurutera perlombongan berdaftar untuk menunjukkan keluasan, sistem pengairan dan aspek keselamatan lain yang perlu dipatuhi.

Lepas itu bolehlah korek emas banyak-banyak. Oh jangan lupa bayar royalti sebanyak 2.5% dari hasil keuntungan kepada kerajaan negeri.

Korek emas ini tak sama macam korek cari cacing tanah, jadi nak rahsiakan ini agak susah.

Dapat pula jiran yang ada TikTok, habis video kau korek tanah dia bubuh dalam TikTok dan satu dunia tahu kau ada lombong emas.

Jadi janganlah buat benda yang susah-susahkan diri.