Kalau bercuti keluar negara, jangan kejar ‘likes & views’ di media sosial – Neelofa

Kalau bercuti keluar negara, jangan kejar ‘likes & views’ di media sosial – Neelofa

 

Ramai yang mengambil peluang untuk pergi bercuti bersempena dengan hujung tahun dan juga cuti persekolahan. Para artis juga tidak ketinggalan untuk pergi merehatkan diri selepas bekerja keras selama setahun.

Walau bagaimanapun, selebriti yang juga bekas pengacara program MeletopNeelofa telah berkongsi sedikit pesanan buat semua ketika pergi melancong.

Travel tengok dunia ke atau nak dunia tengok awak?

Menerusi Insta Story yang dikongsikannya baru-baru ini, Neelofa berharap kita semua ‘enjoy’ dengan semua perkara ketika bercuti dan bukannya taksub untuk memberitahu dunia yang kita sedang melancong.

“Awak berjalan mengembara untuk melihat dunia atau dunia yang melihat awak?

“Rasai dan nikmati setiap perkara kecil yang berlaku di sekeliling anda, bukan semuanya soal mencipta konten di media sosial.

“Jangan tertipu dan puas dengan likes serta views, ia hanya memberi kepuasan kepada anda untuk sementara waktu sahaja,” katanya.

Bercakap berdasarkan pengalaman

Dalam pada itu, isteri kepada pendakwah selebriti, Muhammad Harris Ismail atau dikenali sebagai PU Riz juga menitipkan pesan supaya tidak terlalu memikirkan tentang konten kerana ada lagi yang lebih seronok ketika sedang melancong.

Dia berkata begitu berdasarkan apa yang dilalui olehnya sebelum ini dan ia menjadi pengajaran berguna untuknya.

“Berhati-hati dengan perkara yang membuatkan anda merasa cepat puas dan bukan pasal konten anda. 

“Percayalah mengenai perkara ini, kerana tahun-tahun yang sudah telah mengajar saya tentang ini,” tambahnya.

Menjengah ke Instagram selebriti tersebut, dia sememangnya dilihat sudah kurang berkongsi tentang kehidupan peribadinya lebih-lebih lagi anak tersayang.

Dia juga lebih menumpukan kepada promosi produk-produk dari perniagaannya dan jenama yang menjadikan dirinya duta produk.