Kena tahan dalam roadblock, pemandu bagi alasan tak sedar roadtax dah mati 5 tahun lalu

Kena tahan dalam roadblock, pemandu bagi alasan tak sedar roadtax dah mati 5 tahun lalu

Seperti yang kita tahu, memandu kenderaan dengan cukai jalan (road tax) yang telah tamat tempoh merupakan satu kesalahan yang telah termaktub dalam undang-undang jalan raya. Apatah lagi jika sengaja membiarkannya tanpa mahu memperbaharuinya.

Namun percaya atau tidak, berlaku juga satu kejadian ‘aneh’ mengenai seorang individu yang ditahan dalam operasi sekatan jalan raya, mendakwa dirinya ‘tidak sedar’ bahawa cukai jalan kenderaannya sudah mati bertahun-tahun lamanya.

Demikianlah seperti yang terjadi dalam operasi ‘Ops Khas Ambang Tahun Baru 2021’ oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang baru-baru ini apabila mereka berjaya mengesan beberapa kesalahan yang dilakukan oleh para pemandu.

Merujuk laporan Sinar Harian pada semalam, dalam operasi tersebut, seorang lelaki dalam lingkungan 40-an telah ditahan ekoran cukai jalan bagi kereta jenis Proton Saga yang dinaikinya sudah tamat tempoh.

Bagaimanapun apa yang ‘aneh’ adalah lelaki tersebut memberi alasan tidak munasabah apabila mendakwa dirinya tidak menyedari bahawa cukai jalan kenderaan dipandunya itu sudah tamat tempoh sejak hampir lima tahun lalu.

Sehubungan itu lelaki tersebut akhirnya menerima nasib ‘kurang baik’ apabila dia disaman ekoran kesalahan tersebut, selain kenderaan dipandunya itu turut disita oleh badan penguatkuasa terbabit.

Seperti yang dilaporkan Sinar Harian, kereta yang disita terbabit merupakan sebuah Proton Saga yang cukai jalannya dilapor sudah tamat tempoh hampir lima tahun iaitu sejak 2017 lalu.

Kesalahan libatkan lesen memandu & cukai jalan antara kes tertinggi

Sementara itu, Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, operasi itu dijalankan serentak di empat lokasi di negeri berkenaan dan kesalahan yang melibatkan lesen memandu serta cukai jalan adalah antara kes tertinggi yang berjaya dikesan.

Tambahnya lagi, 285 saman telah dikeluarkan dan empat kenderaan disita dalam operasi yang dijalankan bermula jam 8 malam sehingga 2 pagi yang melibatkan 2692 kenderaan pada hari kejadian.

“Sebanyak 480 notis dikeluarkan termasuk 402 saman dan 78 lain-lain notis. Kesalahan utama yang dikesan termasuk kesalahan teknikal, 118 kes diikuti tiada lesen memandu, 110 kes dan cukai jalan tamat tempoh, 82 kes,” katanya, memetik Sinar Harian.

Memetik Sinar Harian, operasi tersebut juga dilaksanakan di Kilometer (KM) 6 Jalan Raub-Bentong, Bentong (Zon Barat), KM18 Jalan Bukit Ibam-Leban Chondong, Rompin (Zon Tenggara) dan di Jalan Tanjung Lalang, Temerloh (Zon Tengah), selain di Jalan Tanjung Lumpur bagi zon Timur (lokasi kejadian).

Difahamkan operasi berkenaan dijalankan dengan penglibatan 77 anggota dan pegawai, masing-masing terdiri daripada 45 JPJ; 15 Polis Diraja Malaysia (PDRM); sembilan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK); lima Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan tiga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut beliau, daripada 109 kenderaan yang diperiksa, sebanyak 17 saman telah dikeluarkan.

“Pihak JPN pula melakukan pemeriksaan ke atas 73 individu dan empat kes dikesan iaitu memiliki dua kad pengenalan serta gagal mengemukakan dokumen itu.

“Pihak AADK turut melakukan pemeriksaan ke atas beberapa individu namun tiada kes positif dadah dikesan,” jelasnya.

Ekoran daripada kesalahan tersebut menyumbang kepada jumlah statistik yang tinggi sebelum ini, Kamarul menegaskan bahawa pihak JPJ Pahang akan memandang serius kesalahan yang berkaitan dengan lesen memandu dan cukai jalan.

“Masih ada yang berani menunggang atau memandu tanpa lesen dan cukai jalan tamat tempoh walaupun tahu kesan dan akibatnya sekiranya berlaku kemalangan atau ditahan pihak berkuasa.

“Saya ingatkan pengguna jalan raya supaya menitik beratkan peraturan dan undang-undang jalan raya demi kebaikan bersama,” maklumnya.