Kerajaan jadi kelam kabut kerana layan karenah ahli politik tertentu, kata Ketua Muslimat Pas

Kerajaan jadi kelam kabut kerana layan karenah ahli politik tertentu, kata Ketua Muslimat Pas

Ketua Muslimat Pas Malaysia, Senator Nuridah Mohd Salleh mengharapkan agar kerajaan diberi masa untuk melawan wabak Covid-19.

Menurutnya, jika desakan terus dilakukan, kerajaan menjadi kelam kabut akibat melayan kerenah sebahagian ahli politik.

Beliau berkata, tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya dengan kadar yang segera disebabkan kesusahan rakyat ditambah dengan situasi banjir.

“Berhentilah beretorik dan berpolitik dalam tempoh ini, sesungguhnya sekarang bukan masa yang bijak menyebut tentang kuasa dan survival politik. Ini masanya semua ahli politik bertukar menjadi negarawan.

“Bantulah kerajaan untuk fokus membangunkan kembali negara akibat kesan pandemik ini. Kita perlu sedar, penyakit ini bukan sahaja menyebabkan kesihatan rakyat dalam bahaya, namun ia memberi kesan juga pada ekonomi dan sistem sosial negara.

“Tidak ada keperluan untuk mendesak diadakan pilihan raya dengan keadaan rakyat sedang susah tambahan dengan banjir yang melanda di negeri pantai timur dan selatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Nuridah berkata, kerajaan sentiasa berusaha untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat supaya tidak terkesan dengan penyakit ini.

Katanya, usaha kerajaan tersebut tidak cukup jika semua rakyat mengambil sikap sambil lewa dalam urusan kehidupan mereka.

Menurutnya, sudah ramai rakyat yang enggan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan serta bersikap mementingkan diri sendiri.

“Dewan Muslimat amat mengharapkan semua pihak merasakan usaha menangani penyakit Covid-19 dan kesusahan yang kita tanggung sekarang adalah tanggungjawab kita bersama.

“Carilah jalan untuk membantu dan meringankan beban rakyat. Semoga kita semua sentiasa bersama bahu membahu untuk keluar dari semua masalah ini,” katanya.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/118468/BERITA/Politik/Beri-masa-pada-kerajaan-atasi-Covid-19-Nuridah